MALAYSIA
Pengantaraan penyelesaian utama pertikaian perceraian secara holistik - Hakim

Lee berkata hal ini penting kerana kes perceraian lazimnya mengambil masa kira-kira lima tahun untuk diselesaikan. - Gambar Lee Swee Seng
PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng menyifatkan pengantaraan sebagai kaedah paling wajar dan holistik dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan perceraian kerana pergolakan emosi dalam kes kekeluargaan tidak dapat dijangka.
Lee, yang pernah berkhidmat sebagai hakim mahkamah keluarga pada 2015, berkata hal ini penting kerana kes perceraian lazimnya mengambil masa kira-kira lima tahun untuk diselesaikan, dan pengantaraan membolehkan pihak-pihak mencari penyelesaian di luar remedi undang-undang yang ketat dan mendapat hasil yang sesuai dengan keperluan keluarga mereka.
Berucap sebagai seorang daripada ahli panel pada sesi Persidangan Undang-Undang Majlis Peguam Selangor 2025 mengenai undang-undang keluarga dan pengantaraan dalam pertikaian rumah tangga di sini, beliau menekankan bahawa pendekatan yang kurang bersifat pertikaian dan lebih akomodatif, serta litigasi perlu dijalankan serentak dengan kaunseling dan terapi jika sesuai.
"Pengantaraan yang paling memuaskan adalah apabila pihak-pihak bersetuju untuk mengetepikan perbezaan dan berusaha untuk membina semula perkahwinan mereka. Apabila perdamaian dipilih, kebiasaannya mereka setuju untuk menarik balik petisyen dan petisyen balas dengan kebebasan untuk memfailkannya semula kemudian."Mahkamah tidak meraikan perceraian yang terlalu cepat kerana mengekalkan institusi kekeluargaan tetap menjadi hasil yang paling diutamakan selagi langkah itu munasabah," kata hakim berkenaan.
Menyentuh mengenai kehidupan anak-anak, Hakim Lee berkata walaupun litigasi masih berlangsung, anak-anak tetap perlu membesar, bersekolah, diasuh dan dijaga kebajikan mereka.
"Ada anak yang lebih mudah menyesuaikan diri berbanding yang lain, namun pergolakan emosi terhadap keluarga sering kali tidak terjangka. Kesan emosi perceraian memberikan impak kepada setiap aspek kehidupan mereka.
"Dalam litigasi, kecenderungan asas ialah semua pihak mahu menang, tetapi pemikiran itu tidak sesuai untuk pertikaian keluarga. Apabila seorang ibu atau bapa berpindah keluar, hubungan harian antara mereka dengan anak-anak terganggu dan permusuhan boleh meningkat," katanya.
Pada acara itu juga, Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh melancarkan edisi kedua buku Law and Practice of Family Law in Malaysia yang ditulis oleh Lee, Hakim Mahkamah Rayuan Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan sekumpulan penyumbang pakar.
Mengulas mengenai buku itu, Hakim Wan Ahmad Farid berkata beliau tersentuh dengan refleksi jujur penulis dan realiti perkahwinan dan perceraian zaman moden, kerana mereka mengakui bahawa hubungan terlerai bukan kerana kejahatan seseorang, tetapi disebabkan oleh dua orang yang pernah saling mencintai, tidak lagi mampu mempertahankan perasaan itu.
"Desakan mereka tentang perceraian tanpa kesalahan lahir daripada rasa belas kasihan, menyedari bahawa memaksa keluarga melalui kesalahan itu hanya menambah penderitaan, khususnya anak-anak yang tersepit di tengah-tengah.
"Buku ini terasa seolah-olah ditulis oleh mereka yang pernah berdepan dengan ibu bapa yang mengalami masalah hubungan, pasangan yang kecewa dan anak-anak yang keliru.
"Mereka faham bahawa undang-undang keluarga bukan semata-mata tentang peraturan dan duluan, tetapi tentang membantu orang mengutip serpihan kehidupan dan terus ke hadapan. Nilai kemanusiaan menyerlah pada setiap halaman, dan saya percaya buku ini sumber yang amat berharga bagi peguam yang ingin mengamalkan undang-undang dengan cemerlang dan empati," kata beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami