SEREMBAN: Seorang pengarah filem tempatan dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjalankan aktiviti penggambaran filem di tempat awam di Jeti Penambang 2, Bukit Pelandok, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kompaun terhadap lelaki berusia 59 tahun dibuat setelah polis menerima maklumat daripada orang awam terdapat penggambaran filem di kawasan terbabit kira-kira pukul 11.30 pagi.

"Kompaun dikeluarkan oleh polis kepada lelaki itu semasa penggambaran sedang dijalankan di jeti berkenaan.

Individu yang dikompaun seharusnya lebih peka dengan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu penggambaran hanya dibenarkan dibuat di dalam studio sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Jelasnya, polis memandang serius sebarang pelanggaran SOP yang ditetapkan MKN dalam mengawal jangkitan pandemik COVID-19 memandangkan kes wabak itu masih lagi tinggi.

-- BERNAMA