JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat kontraktor pembinaan dan penyelenggaraan didenda RM23,000 serta dikenakan penalti RM1.28 juta oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas dua pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tiga tahun taksiran berturut-turut.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman itu terhadap Yusof Ahmad, 38, dan memerintahkan lelaki itu dipenjara enam dan empat bulan bagi pertuduhan pertama dan kedua jika gagal membayar denda itu.

Yusof didenda RM15,000 dan penalti RM1.28 juta dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula hari ini bagi pertuduhan pertama, manakala pertuduhan kedua dia didenda RM8,000.

Mengikut pertuduhan pertama, Yusof selaku orang kena saman (OKS) dikehendaki di bawah Seksyen 77A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan suatu penyata pendapatan dalam borang C bagi tahun taksiran 2019 hingga 2020 mengenai pendapatan syarikat kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Yusof didakwa gagal mengemukakan penyata itu yang mempunyai pendapatan bercukai sebanyak RM1.22 juta yang boleh dikenakan cukai RM293,126.40 bagi tahun taksiran 2019 dan RM562,364 yang boleh dikenakan cukai RM134,967.36 bagi tahun taksiran 2020.

Pendakwaan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan, jika didapati bersalah.

Bagi pertuduhan kedua, Yusof didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam borang C bagi tahun taksiran 2021 mengenai pendapatan syarikat kepada Ketua Pengarah LHDN dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh penutupan akaun iaitu pada atau sebelum 31 Julai 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa LHDN Mazlan Alias memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana OKS adalah pesalah cukai tegar supaya dapat memberi pengajaran kepadanya untuk tidak mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

"Ia juga sebagai memberi mesej jelas kepada masyarakat khususnya kepada pembayar cukai yang culas dalam menjalankan tanggungjawab dan supaya berlaku adil kepada pembayar cukai yang patuh," kata Mazlan.

Bagaimanapun, Yusof yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah untuk tidak mengenakan hukuman penjara sebaliknya hukuman denda yang rendah dan berjanji akan menjelaskan bayaran cukai tersebut.

-- BERNAMA