SIBU: Seorang pengarah sebuah syarikat di Bintulu mengalami kerugian kira-kira RM120,000 selepas terperdaya oleh seorang individu yang menyamar sebagai wakil sebuah jabatan kerajaan di Miri yang menggunakan dokumen pesanan kerajaan memintanya membekalkan barangan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dalam satu kenyataan hari ini berkata mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia awal 60-an itu menerima dokumen itu yang dihantar individu yang tidak dikenalinya itu menerusi aplikasi WhatsApp pada awal Januari ini.

"Mesej yang dihantar suspek itu mengandungi dokumen pesanan Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan polycarbonate natural anodized aluminium sliding window bagi kerja-kerja menaik taraf sebuah pejabat jabatan kerajaan di Niah, Miri," katanya.

Menurutnya, suspek juga telah meminta supaya barangan yang dipesan itu mestilah dari jenama Jeng Cheng yang hanya boleh dibeli dari seorang pembekal di bandar raya Miri dan mangsa telah diberikan satu nombor telefon untuk menghubungi pembekal berkenaan.

"Mangsa telah menghubungi nombor telefon tersebut dan berurusan dengan seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa sebagai pembekal polycarbonate jenama Jeng Cheng itu. Mangsa kemudian telah melakukan tiga transaksi pemindahan wang dalam talian yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang RM120,000 ke satu akaun bank milik individu tidak dikenali pada pertengahan Januari ini untuk pembelian itu," katanya.

Mancha berkata mangsa hanya menyedari ditipu setelah barangan yang dibeli dan pesanan kerajaan seperti yang dijanjikan suspek tidak diterima, selain mendapat pengesahan jabatan kerajaan terbabit bahawa mangsa tidak terlibat dengan kerja-kerja menaik taraf pejabat seperti yang didakwa dalam mesej WhatsApp yang diterimanya.

Beliau berkata mangsa telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Ekoran kes itu, Mancha menasihatkan pemilik syarikat agar membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkenaan sebelum melakukan sebarang transaksi pembayaran untuk pembelian barangan bagi kerja-kerja pembinaan atau pengubahsuaian bangunan kerajaan.

"Jangan mudah terpedaya dengan harga atau keuntungan tinggi yang ditawarkan oleh suspek bagi sesuatu pembelian atau kerja-kerja pengubahsuaian bangunan. Jangan hubungi nombor telefon yang diberikan suspek untuk apa sahaja tujuan bagi mengelakkan anda ditipu sindiket," katanya.

-- BERNAMA