Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff, disahkan meninggal dunia di Hospital Pantai pada jam 8.04 pagi tadi, pada usia 50 tahun.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Sajahan Abdul Waheed mengesahkan pemergian Allahyarham melalui satu kenyataan pada hari ini.

"Allahyarham meninggalkan balunya Datin Joani Sofina Othman dan dua orang anak lelaki dan perempuan, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama golongan yang beriman," menurut kenyataan itu.

Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Petaling Jaya pada petang tadi. - Foto Astro AWANI / Razak Chik
Beliau dihantar ke hospital berkenaan untuk rawatan kecemasan selepas dikatakan jatuh ketika sedang berjoging di sebuah taman rekreasi di ibu negara, sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital itu.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Petaling Jaya pada petang tadi.

Sebelum menyandang jawatan Pengarah Urusan, Allahyarham dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas BDB pada bulan Ogos tahun 2013, sebelum menjawat sebagai Pengarah Eksekutif Bukan Bebas pada Februari tahun 2014.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Percetakan Nasional Malaysia Berhad dari Februari 2010 hingga Januari 2014 sebelum mula berkhidmat dalam Kumpulan BDB.

Izham juga turut menjawat sebagai ahli Lembaga Panel Pelaburan Tabung Haji pada 1 Oktober 2017.

Selain itu, beliau juga sempat meyandang beberapa jawatan lain termasuklah sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif KUB Malaysia Berhad pada tahun 2004 hingga tahun 2007 dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Ninebio Sdn Bhd pada tahun 2007 hingga tahun 2010.

Allahyarham yang merupakan anak jati Kedah juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan & Perniagaan Antarabangsa) dari University of Miami, Amerika Syarikat.