Skip to main content

Malaysia

Pengaruh Barat bawa kemajuan, turut hakis institusi keluarga - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 10 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap bagi merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA26) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keterbukaan terhadap kemajuan sejagat perlu diraikan, namun masyarakat tidak boleh mengabaikan identiti, budaya dan nilai asas yang membentuk negara. -Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata arus modenisasi dan pengaruh nilai dari Barat memberi cabaran besar kepada masyarakat, khususnya aspek kemerosotan moral serta keruntuhan institusi keluarga.

Menurut beliau, walaupun keterbukaan terhadap kemajuan sejagat perlu diraikan, namun masyarakat tidak boleh mengabaikan identiti, budaya dan nilai asas yang membentuk negara.

Advertisement

"Dengan arus pembangunan dan perubahan, kita menerima pengaruh besar dari Barat. 

"Ada yang positif tentunya, tetapi ada juga gejala negatif termasuk keruntuhan nilai moral, akhlak dan institusi keluarga,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026, di sini, pada Selasa.

Tambah Anwar, fenomena tersebut bukan sesuatu yang asing dalam era moden kerana kemasukan nilai Barat sering membawa kepada kejatuhan peranan keluarga dalam masyarakat.

“Kita harus mengejar pembaharuan dan teknologi baharu seperti transformasi digital dan kecerdasan buatan.

"Tetapi sementara kita menggapai yang di langit, kita mesti mengakar di bumi dengan mempertahankan agama, nilai, budaya dan tradisi melalui institusi keluarga,” tegas Anwar.

Jelasnya lagi, keluarga merupakan asas penting kepada pembinaan masyarakat yang stabil dan berakhlak, sekali gus menjadi tonggak kelangsungan negara bangsa.

Dalam majlis sama, Anwar turut melancarkan PRISMAnita iaitu Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk wanita yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Inisiatif itu diwujudkan sebagai pusat sehenti bagi memudahkan wanita mendapatkan bantuan dan perkhidmatan sokongan secara lebih pantas, terselaras dan mesra mangsa, khususnya dalam menangani pelbagai isu kekeluargaan termasuk keganasan rumah tangga.  

Melalui pelaksanaan PRISMAnita, kerajaan berharap akses kepada khidmat nasihat, kaunseling, rujukan dan advokasi dapat diperkukuh sekali gus membantu memperkasa wanita serta memelihara kesejahteraan institusi keluarga di negara ini.

Must Watch Video