Polis Terengganu tidak menolak kemungkinan pengaruh dadah antara punca seorang penganggur bertindak menikam anak saudaranya sendiri sehingga meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, bagaimanapun siasat lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.

Menurut Hanyan, pihaknya juga masih mengenal pasti motif sebenar kejadian itu.

“Suspek juga telah direman selama seminggu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.


BACA: "Saya maafkan dia..." - Bapa terima ketentuan anak ditikam adik sendiri


BACA: Kanak-kanak perempuan 3 tahun maut ditikam di dada oleh bapa saudara


Pada Isnin, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut ditikam oleh bapa saudaranya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang Ahad di Felda Cerul 2 Kemaman.


Suspek yang berusia 26 tahun itu dikatakan menikam mangsa di bahagian dada menggunakan pisau pemotong sayur.

Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.