ALOR SETAR: Seorang pengasas produk kecantikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas dua pertuduhan mengambil deposit secara haram tanpa lesen.

Bagaimanapun tertuduh Nur Assilla Amirah Muhamad Zikir, 30, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengambil deposit daripada Izati Izni Ahmad Zulkifli berjumlah RM10,000 tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan J&T Pendang pada jam 6.30 petang 16 April 2021.

Mahkamah | Pengasas produk kecantikan berdepan denda RM50 juta


Manakala bagi pertuduhan kedua dia turut dituduh mengambil wang mangsa yang sama berjumlah RM20,000 dan tertuduh melakukan perbuatan itu di Stesen Minyak Petronas Pendang pada jam 9.35 malam 9 Mei 2021.

Bagi kedua-dua kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137 (2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dimana boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nazri manakala tertuduh diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diberi jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes.