MELAKA TENGAH: Polis Melaka menahan dua beradik warga Singapura selepas dipercayai melakukan penderaan dan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar lelaki sebuah pusat tahfiz di negeri ini.

Suspek lelaki berusia 40 dan 36 tahun yang merupakan pengasas pusat tahfiz dan adik lelakinya yang bertugas sebagai warden itu ditahan selepas keenam-enam mangsa berusia 13 hingga 15 tahun tampil membuat laporan polis malam tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata, siasatan awal mendapati semua kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah pusat bimbingan tahfiz di Tanjung Minyak dan juga Alor Gajah serta sebuah kondominium di Klebang, Melaka.

“Dalam kes ini tiga orang pelajar telah dicium, disuruh menghisap kemaluan dan juga disuruh mengurut kemaluan oleh suspek berusia 40 tahun yang merupakan mudir pusat tahfiz berkenaan.

“Manakala tiga lagi pelajar telah didera secara fizikal dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh warden asrama yang juga adik kepada pengasas dan mudir pusat bimbingan itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut katanya, pihak polis menerima laporan daripada enam mangsa berkenaan antara pukul 7.29 hingga 9.13 malam tadi di Balai Polis Batang Tiga sebelum dua beradik itu kemudian ditahan pada pukul 1 dan 1.30 tengah hari tadi di salah sebuah pusat tahfiznya di Tanjung Minyak.

Katanya, mangsa dikatakan sering didera oleh warden asrama tersebut kerana lambat menyiapkan tugasan yang disuruh .

“Kejadian ini didakwa telah berlaku beberapa kali sebelum ini dan kali terakhir terjadi adalah pada 7 Mei baru-baru ini.

“Buat masa ini pusat tahfiz yang terlibat ini masih beroperasi seperti biasa selain pengasas ini juga pernah mempunyai rekod lampau atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal dan liwat pada tahun 2019 lalu,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek itu juga akan dilakukan di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada esok.