Pengasingan ketua perkhidmatan bagi mahkamah rendah merupakan langkah awal dalam membawa transformasi kepada badan kehakiman di negara ini.

Felow Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata langkah paling ideal adalah untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan meletakkan mahkamah rendah sebagai institusi yang bebas sepenuhnya seperti mahkamah tinggi.

"Ini saya fikir sebagai langkah permulaan untuk membebaskan mahkamah majistret dan juga sesyen daripada pihak Eksekutif. Kalau ikutkan paling ideal bagi saya adalah kebebasan kehakiman bagi mahkamah sesyen dan majistret ini.

"Untuk penambahbaikan yang lebih baik pada masa akan datang, kita perlu bincangkan supaya mahkamah majistret dan sesyen juga adalah mahkamah yang disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas dijamin kebebasannya dari segi pentadbiran, pelaksanaan tugas, pelantikan dan profesion.

"Tapi untuk keadaan semasa, dari segi pentadbiran, kita tidak memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan saya fikir ini satu langkah yang baik. Sekurang-kurangnya membebaskan para hakim di mahkamah rendah daripada pihak Eksekutif, iaitu Peguam Negara," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Keputusan pengasingan kuasa kehakiman penghujung tahun ini

Menurut Shamrahayu, mahkamah rendah mempunyai peranan yang tidak kurang besarnya seperti membuat keputusan berkenaan kebebasan seseorang individu.

"Sebab kalau kita lihat sekarang, sistem kehakiman yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan ialah mahkamah yang bermula daripada mahkamah tinggi, sedangkan ada kuasa yang agak besar pada majistret. Sebagai contoh kuasa memberikan reman.

"Mengenakan reman ini berkaitan dengan kebebasan asasi. Mahkamah ini mempunyai peranan yang amat besar dalam menentukan kebebasan seseorang individu itu. Jadi saya fikir kebebasan mahkamah rendah itu amat penting sama seperti mahkamah yang lebih tinggi," ujarnya.

Bagaimanapun, tegas Shamrahayu beberapa kajian pelaksanaan berkaitan kedudukan Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan dan mengambil satu tempoh masa sebelum pindaan dilaksanakan berkaitan kedudukan mahkamah rendah.

"Penambahbaikan seterusnya mungkin yang boleh kita fikirkan ialah meletakkan mahkamah ini (mahkamah rendah) sebahagian daripaada sistem kehakiman yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan dan mengeluarkan mereka daripada mahkamah rendah ini daripada penjawat awam sebagaimana Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.