KUALA TERENGGANU: Seorang pengasuh di sebuah pusat jagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki, Ogos tahun lepas.

Tertuduh Norafifi Muda, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Dia didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu di sebuah pusat jagaan di Bukit Besar di sini, sekitar Ogos 2022 pada pukul 6 pagi hingga 10 malam sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA