KUALA TERENGGANU: Seorang pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak  (Taska) mengaku tidak bersalah atas tujuh tuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia empat bulan sehingga koma.

Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin,27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa menganiayai mangsa yang berusia empat bulan sehingga menyebabkannya mengalami pendarahan di dalam kepala dan retak di bahagian kiri tempurung kepala.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah taska di daerah Kuala Terengganu antara 1 hingga 3 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di sebuah taska di daerah ini.

BACA: Bayi koma dipercayai didera pengasuh

Bayi malang itu mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala.