KUALA LUMPUR: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendesak kerajaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan gaji minimum RM1,500 dilaksanakan kepada pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan yang bertugas di bangunan kerajaan, sepertimana yang ditetapkan iaitu pada 1 Mei.

Penyelaras Nasional JPKK, Danial Hakeem Azman berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pekerja pembersihan dan keselamatan sekolah mendakwa pihak kontraktor tidak akan melaksanakan gaji minimum tersebut.

Antara alasan yang diberikan adalah kerana kontrak perjanjian antara kontraktor dengan kerajaan masih berdasarkan gaji minimum yang lama, ujarnya.

Syarikat juga jelas Danial, enggan mendahulukan dana untuk pembayaran gaji minimum baharu dan hanya berharap daripada peruntukan kerajaan.

"Pekerja mengadu bahawa kontraktor ada menyatakan syarikat akan terus membayar gaji minimum pada taraf RM1,200 sehingga kontrak mereka tamat. Syarikat juga hanya akan melunaskan tunggakan kenaikan gaji RM300 sebulan ke taraf baharu gaji minimum RM1,500 selepas kontrak syarikat dengan kerajaan tamat.

"Walau bagaimanapun, dalam pengalaman kebanyakan pekerja yang sudah menyaksikan pelaksanaan gaji minimum sebelum ini kepada RM1,100 dan RM1200,  bayaran tunggakan gaji ke taraf baharu tidak akan ditunaikan.

"Ini bermakna, pekerja pembersihan dan keselamatan bangunan kerajaan sendiri tidak akan menikmati gaji minimum baharu sehingga kontraktor baharu masuk, ataupun sehingga kontrak perjanjian antara kontraktor dengan kerajaan diperbaharui," katanya dalam satu sidang media secara dalam talian hari ini.

Hadir sama wakil Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Hospital Kerajaan, Chong Yee San, pengawal keselamatan, Mohamad Yunus Veerakuty dan pekerja pembersihan, Mawar Shaabani.

Foto/Video sidang media

Mengulas lanjut, Danial berkata, terlalu banyak syarikat yang beroperasi di sekolah kerajaan didakwa melanggar undang-undang menindas pekerja dengan tidak memberi gaji minimum, cuti tahunan dan cuti sakit, selain terus beroperasi tanpa dikenakan sebarang tindakan.

JPKK kata Danial berpandangan, syarikat kewangan yang tidak kukuh tidak boleh terus dianugerahkan tender tanpa mengambil kira rekod perkhidmatan mereka.

Sehubungan itu, dia berkata JPKK turut mendesak agar menyenaraihitamkan kontraktor yang bermasalah dan enggan untuk membayar gaji minimum RM1,500.

Penilaian semula terhadap semua nilai kontrak perjanjian dengan kontraktor juga perlu dilakukan dengan segera untuk dinaiktaraf ke kadar baharu.

Ini jelasnya, bagi memastikan majikan tidak mempunyai alasan untuk melaksanakan penangguhan Perintah Gaji Minimum.

Selain itu, Danial menambah JPKK berpandangan kerajaan sebagai pihak yang mewartakan kenaikan gaji minimum harus memastikan kontraktor kerajaan membayar RM1,500 kepada semua pekerja termasuk syarikat yang menggaji kurang daripada lima pekerja kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjayakan polisi dan undang-undang sendiri.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menegaskan gaji minimum RM1,500 akan tetap dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei, meskipun ada permintaan termasuk daripada majikan supaya ia ditangguhkan.

Bagaimanapun, Saravanan berkata, penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja adalah pada 1 Januari depan.

Penangguhan kuat kuasa gaji minimum itu kepada majikan, ujarnya bertujuan memberi peluang kepada pihak berkaitan untuk membuat persediaan sewajarnya.