Seorang pengawal keselamatan putus kedua-dua belah tangan selain cedera parah di beberapa bahagian anggota badan selepas ditetak dua lelaki bersenjatakan parang ketika sedang bertugas di sebuah sekolah di Kapar, Selangor pada 4 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, akibat kesan tetakan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kaki, bahu serta putus kedua pergelangan tangan.

“Dua suspek yang memakai topi keledar menutup muka dengan sapu tangan bersenjatakan parang telah menyerang mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

“Dalam kejadian jam 1.30 pagi mangsa bersama seorang lagi rakannya yang juga merupakan pengawal keselamatan. Rakan mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada Khamis.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada isu selisih faham berkaitan lot tanah yang diusahakan untuk menternak lembu yang melibatkan anggota keluarga.

Dengan bayaran RM10,000 kedua-dua suspek berkenaan diupah untuk melakukan serangan jenayah tersebut bertujuan memberi amaran dengan cara mencederakan yang didalangi suspek utama yang masih giat diburu pihak polis.

Susulan itu, sepasukan polis daripada Balai Kapar Klang telah berjaya menahan empat individu termasuk seorang warganegara India berusia lingkungan 20 hingga 30an disyaki terlibat dengan serangan berkenaan.

Daripada empat yang ditahan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan telah direman 7 hari bermula 7 Jun lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.