Pengecualian kuarantin, hanya untuk perjalanan tidak lebih dua hari - Uggah

Astro Awani
Ogos 14, 2020 11:23 MYT
Sarawak mencatat pertambahan satu kes positif baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 682 kes. - Foto Astro AWANI
Pengecualian kuarantin diberikan kepada rakyat Sarawak dalam perkhidmatan penting yang keluar dari negeri itu sama ada ke semenanjung, Sabah dan Labuan.
Bagaimanapun pengecualian diberikan dengan syarat perjalanan kembali ke negeri itu adalah tidak lebih daripada dua hari.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam sidang medianya di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut Uggah memaklumkan individu yang terlibat juga perlu mengemukakan surat arahan rasmi dari pihak ketua jabatan atau majikan.
"Mereka masih diperlukan mengisi borang E-health apabila balik ke Sarawak tetapi apabila dia balik dalam tempoh dua hari mereka tidak dikenakan kuarantin.
"Mereka juga tidak perlu diambil sampel, kerana itu cuma hari ini pergi besok balik," jelasnya.
Beliau menambah, bagi perjalanan lebih dua hari, individu berkenaan perlu diambil sampel namun tidak akan dikuarantin.
Sementara itu Sarawak mencatatkan pertambahan satu kes positif baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 682 kes.
Kes merupakan rakyat tempatan dari Mukah yang menuntut di Yemen dan memasuki Sarawak pada 3 Ogos. Saringan kedua rT-PCR pada hari ke-10 mendapati mangsa positif.
#COVID-19 #Douglas Uggah Embas #JPBNS #kes positif #koronavirus #kuarantin #Mukah #Sarawak #Yemen