SEBERANG JAYA: Pengeluaran buah durian di Pulau Pinang dan Perak meningkat meskipun berdepan dengan faktor cuaca tidak menentu musim ini.

Peningkatan ini tersasar daripada jangkaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang sebelum ini menjangkan pengeluran durian musim ini berkurangan antara 30 hingga 40 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, berdasarkan tinjauan yang dibuat kementerian itu, sesetengah kawasan di Pulau Pinang dan Perak merekodkan pengeluaran yang memberangsangkan.

Bahkan, kata beliau, harga durian di pasaran juga berpatutan.

“(Sebelum ini) kita menjangkakan keluaran durian kali ini akan berkurangan tahun ini berbanding tahun lepas kerana faktor cuaca, tapi dengan izin Allah kita dapat lihat banyak durian sekarang dan harganya yang cukup berpatutan tidak seperti yang kita jangkakan harga akan melambung,” katanya sambil memberitahu durian jenis Musang King juga dijual pada harga berpatutan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Penang FAMA Fest 2022 di tapak Parkir Pasaraya Lotus di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Pengerusi Jawatankuasa Agro Teknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin.

Program Penang FAMA Fest selama lima hari yang bermula semalam bertujuan membantu menambah ruang pasaran kepada usahawan dalam memasarkan produk agromakanan seterusnya mencapai nilai jualan sebanyak RM500,000.

Pada program itu, jualan durian seperti Musang King dijual pada harga RM35 sekilogram sementara buah-buahan tempatan lain pula berharga RM30 sebakul.