KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia merosot 13.7 peratus kepada 23,460 tan pada April 2023 daripada 27,188 tan pada Mac 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran getah asli naik tahun ke tahun, meningkat 3.4 peratus daripada 22,695 tan pada April 2022.

"Sektor pekebun kecil menyumbang 87.7 peratus daripada pengeluaran manakala sektor estet menyumbang 12.3 peratus," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jumlah stok getah asli berkurangan 4.5 peratus kepada 194,527 tan pada April 2023 daripada 203,757 tan pada bulan sebelumnya.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.2 peratus diikuti kilang pengguna getah (8.7 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 37,728 tan pada April 2023, yang merosot 17.6 peratus daripada 45,789 tan pada Mac 2023.

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 48.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada April 2023 diikuti Jerman (11.7 peratus), Pakistan (5.6 peratus), Turkiye (3.9 peratus) dan Portugal (3.3 peratus).

"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.8 billion pada April 2023, menurun 32.6 peratus berbanding Mac 2023 (RM1.2 bilion)," katanya.

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat mencatatkan penurunan iaitu 6.6 peratus (April 2023: 495.00 sen sekilogram; Mac 2023: 530.11 sen sekilogram) manakala sekerap berkurangan 0.7 peratus (April 2023: 465.21 sen sekilogram; Mac 2023: 468.68 sen sekilogram).

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (SMR) merosot antara 0.1 peratus dan 6.6 peratus. - BERNAMA