IPOH: Pengeluaran ketam di negara ini daripada perikanan tangkapan dan akuakultur sebanyak 16,074.14 tan metrik tahun lepas dengan 15,740 tan menerusi hasil tangkapan kata Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain.

Beliau berkata bagi tangkapan, pendaratan ketam ialah dari jenis ketam nipah, ketam laut, ketam renjung dan ketam batu, dengan menggunakan peralatan seperti pukat hanyut, pukat tunda, pukat rentang dan bubu atau bintoh ketam.

"Pengeluaran ketam daripada akuakultur sebanyak 334.14 tan metrik melibatkan ketam nipah sahaja dalam bentuk kulit lembut dan kulit keras. Ketam nipah yang diternak itu daripada spesies 'scylla olivacea', 'scylla paramamosain', 'scylla tranquebarica' dan 'scylla serrata'," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Lokman Hakim Ali telah mengadakan lawatan ke Projek Ternakan Ketam Nipah di Bagan Datuk dan Projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar di Bota.

Adnan berkata Johor menjadi pengeluar utama ketam nipah (akuakultur) yang tertinggi pada tahun lalu dengan 187.46 tan metrik, diikuti Sabah (122.60 tan metrik); Perak (13.60 tan metrik); Sarawak (4.76 tan metrik); Kedah (3.89 tan metrik); Selangor (0.64 tan metrik) dan Terengganu (1.19 tan metrik).

Dalam pada itu, Adnan berkata spesies utama pengeluaran akuakultur air tawar ialah tilapia merah, keli dan patin dengan ikan tilapia merah menyumbang sebanyak 25,064.65 tan metrik dan 5,683.37 tan metrik daripadanya merupakan hasil pengeluaran negeri Perak.

"Seramai 1,045 orang penternak akuakultur air tawar di Perak dan kira-kira 366 orang daripada mereka mengusahakan ternakan tilapia merah," katanya.

-- BERNAMA