KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan membenarkan pengeluaran wang persaraan sebanyak RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikhuatiri membawa kepada peningkatan harga barang dan inflasi berlaku.

Menurut Pakar Ekonomi, Profesor Madya Yusof Saari, meskipun tindakan terbabit bagi membantu golongan terkesan akibat pandemik COVID-19, namun fasiliti itu tidak memberi manfaat kepada keseluruhan pencarum.

"Kita juga perlu bertanya juga pengeluaran KWSP RM10,000 ini walaupun pencarum keseluruhan 7.4 juta tapi tidak semua mendapat manfaat tersebut.

"Ada yang simpanan sedia ada di bawah paras RM10,000 jadi hanya mereka tertentu sahaja mendapat fasiliti.

"Persoalannya bagaimana pencarum yang sedikit tidak cukup RM10,000 dan bagaimana mereka yang telah habis caruman dikeluarkan dahulu, bagaimanakah untuk kita tangani mereka ini.?

"Adakah kita mengambil keputusan mudah? Saya bimbang yang lain, sebab jika pengeluaran itu diberikan RM10,000 jumlah itu akan banyak dalam ekonomi, jadi permintaan bertambah," jelasnya kepada Astro AWANI pada Rabu.

BACA: Kerajaan benarkan pengeluaran KWSP RM10,000 - PM

[TERKINI] Sidang Media Khas Perdana Menteri

Tambah Yusof lagi, lebih membimbangkan apabila kenaikan harga barang boleh berlaku sekali gus menyebabkan inflasi.

"Saya bimbang akan ada kekacauan dekat supply side ini yang mana kita telah lihat benda ini berlaku harga ayam meningkat, harga bekalan bahan mentah meningkat.

"Saya bimbang ini akan menyebabkan inflasi disebabkan permintaan tinggi melibatkan kenaikan harga seterusnya memberi beban kepada rakyat Keluarga Malaysia.

"Mereka yang tidak dapat fasiliti RM10,000 ini bagaimana? Mereka akan lagi terkesan disebabkan kenaikan harga barang, ini saya maksudkan tadi kita kena lihat menyeluruh," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, ujar Yusof, meskipun keputusan kerajaan itu mengejutkan, namun beliau mengandaikan pertimbangan ekonomi dan sosial telah diambil sebelum keputusan itu dibuat.

Malah beliau menjangkakan lebih banyak penjualan aset KWSP luar negara terpaksa dibuat bagi menampung permintaan pencarum yang memohon fasiliti itu.

"Sebelum ini KWSP telah membuat perjualan aset di luar negara, jadi pengeluaran RM10,000 ini dijangka juga akan pihak KWSP memerlukan kecairan yang banyak untuk memastikan fasiliti tersebut dapat diberikan manfaat kepada pencarum di luar sana.

"Dari sudut KWSP memang jelas kemungkinan besar mewujudkan kecairan baru yang diperlukan melibatkan penjualan aset di luar negara.

"Tapi yang lebih penting kita kena lihat perspektif ekonomi secara keseluruhan termasuk pencarum dan mereka yang bakal bersara," katanya lagi.

Justeru, beliau berharap kerajaan juga turut mempunyai strategi dalam memastikan pencarum yang akan bersara dari sektor swasta tidak terjejas dengan tindakan itu.

"Saya lebih suka jika kerajaan selain mengumumkan pengeluaran RM10,000, kerajaan juga ada pelan bagaimana kerajaan memastikan pencen pekerja swasta lebih baik.

"Apakah strateginya akan digantikan balik, kemungkinan itu akan diperincikan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat," katanya lagi. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas pada Rabu memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas RM10,000 wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelasnya, meskipun kebenaran diberikan, namun beliau merayu para pencarum dapat mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

Tambah Ismail, kebenaran itu diambil sebagai jalan tengah dalam meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan akibat pandemik.