Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) muktamad menghentikan sepenuhnya pengeluaran permit import (AP) bagi sampah plastik berkuatkuasa hari ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata selain faktor kesihatan dan alam sekitar, langkah itu antara lain sebagai pemangkin ke arah memperkasa industri plastik tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Peranan industri plastik tempatan akan berubah kepada pemain utama, sekaligus menghentikan kebergantungan kepada bahan yang dibawa dari luar negara.

"Kita akan sediakan kerangka masa 'phase out' untuk tempoh tiga tahun, sebelum industri plastik tempatan mengambil alih peranan sebagai pembekal secara total," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Peringkat Menteri berhubung isu lambakan sisa plastik import di Malaysia yang disertai Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar; Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Kementerian Perdagangan Antarabngsa dan Industri (MITI).

Pada 24 Julai lepas, KPKT mengumumkan pemberian AP sisa plastik dihentikan untuk tempoh tiga bulan susulan insiden pencemaran serius di Kuala Langat, Selangor yang dikatakan berpunca dari kilang yang memproses plastik import secara haram.

Malah, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik juga dilaporkan membuat gesaan agar kerajaan mengharamkan sepenuhnya import sampah plastik dari negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain yang dianggarkan berjumlah 550,000 tan tahun lepas untuk dikitar semula di negara ini bagi mengelak kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar.

Zuraida berkata berdasarkan statistik MITI, industri plastik di Malaysia menjana nilai ekonomi sebanyak RM30 bilion setahun dan RM600 bilion di seluruh dunia, satu prospek yang besar kepada negara jika dimanfaatkan oleh pemain industri tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat bersama itu turut mengambil ketetapan mengkaji semula kriteria pengimportan plastik berkualiti seperti plastik industri, plastik bersih dan plastik homogeneous.

Seiring usaha memperkukuh industri plastik tempatan, kementerian juga giat menggerakkan operasi pemutihan bagi menghapuskan kilang-kilang plastik haram yang beroperasi di seluruh negara, katanya.

-- BERNAMA