KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa pengeluaran RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), bukan arahan daripada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bekas Ketua Penerangan Armada Ulya Aqamah Husamudin, 31, berkata semasa perbincangan dalam kumpulan G5 di rumah Syed Saddiq, bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak pernah mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu Rafiq Hakim Razali, mengeluarkan wang tersebut.

"Dalam perbincangan itu menyatakan jumlah pengeluaran adalah berdasarkan keperluan, setelah Rafiq Hakim berbincang dengan Exco Armada yang bertanggungjawab," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada hari ketiga prosiding membela diri Syed Saddiq, yang berdepan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Selain Ulya Aqamah, kumpulan G5 terdiri daripada pimpinan tertinggi Armada yang lain iaitu Syed Saddiq, yang ketika itu Ketua Armada, Rafiq Hakim, Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi ketika itu, dan Naib Ketua Armada Mohd Aizad Roslan ketika itu.

Menurut Ulya Aqamah, beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai cara bagaimana Rafiq Hakim akhirnya memilih untuk membahagikan dan mengedarkan dana tersebut.

"Pengagihan dana bagi bantuan-bantuan tersebut adalah secara 'ad hoc'. Oleh itu, tiada keperluan untuk menyediakan mana-mana kertas kerja bagi tujuan tersebut. Tiada sebarang kertas kerja pernah dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, sepanjang keahlian saya.

"Oleh itu, saya tidak pernah mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kertas kerja hendaklah dibentangkan kepada MPT Bersatu bagi mana-mana pengeluaran, perbelanjaan atau pengurusan mana-mana program Armada atau Bersatu," katanya.

Selain itu, Ulya Aqamah berkata Syed Saddiq tidak pernah menyatakan bahawa beliau (Syed Saddiq) berhak terhadap wang di dalam akaun Armada, kerana ia adalah hasil titik peluhnya yang perlu digunakan untuk manfaat politik.

Merujuk saksi itu kepada kenyataannya kepada SPRM, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata terdapat percanggahan antara kenyataan tersebut dengan kenyataan saksi berkenaan di mahkamah hari ini.

"Kenyataan awak (Ulya Aqamah) kepada SPRM menyatakan awak tidak tahu YB Syed Saddiq mengarahkan Rafiq Hakim mengeluarkan RM1 juta, tetapi dalam keterangan di mahkamah hari ini, awak menyatakan Syed Saddiq tidak pernah mengarahkan Rafiq Hakim mengeluarkan RM1 juta.

"Setuju dengan saya, dua kenyataan ini bercanggah dan kenyataan awak di mahkamah hari ini adalah penipuan dan difikirkan kemudian," tanya Wan Shaharuddin.

Syed Saddiq: Tidak Setuju.

Saksi pembelaan ketiga itu tidak bersetuju bahawa beliau tidak mengetahui arahan pengeluaran RM1 juta kerana perbincangan bersama kumpulan G5 tidak membabitkannya dan Mohd Aizad, sebaliknya ia hanya melibatkan Syed Saddiq, Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan.

Wan Shaharudin kemudian memohon untuk memasukkan tiga muka surat daripada keseluruhan kenyataan Ulya Aqamah kepada SPRM sebagai eksibit, bagaimanapun peguam Gobind Sing Deo membantah atas alasan kenyataan itu tidak boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti saksi berkenaan yang merupakan saksi pembelaan.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan pihak pendakwaan itu.

Semasa peguam Tiara Katrina Fuad meminta Ulya Aqamah menjelaskan mengenai percanggahan dalam kenyataan tersebut, saksi itu berkata pegawai penyiasat SPRM bertanyakan dua soalan yang berbeza.

"Apabila SPRM (pegawai penyiasat) tanya soalan adakah semasa mesyuarat, YB Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran RM1 juta, saya jawab tidak mengarahkan, ini (jawapan) sama dengan kenyataan (di mahkamah).

"Apabila SPRM tanya mungkin di luar waktu itu (mesyuarat) ada suruh Rafiq Hakim keluarkan RM1 juta saya jawab tidak tahu," katanya dan menambah kenyataan kepada SPRM adalah konsisten dengan kenyataanya di mahkamah.

Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Anak kelahiran Johor Bahru itu, didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berhadapan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung 13 Mac ini.

-- BERNAMA