JOHOR BAHRU: Pengesanan kes tertunggak atau kes belum dilaporkan sejak dua minggu lepas, merupakan sebab utama Johor merekodkan 2,785 kes baharu COVID-19 semalam, angka harian tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata hal ini kerana sebanyak 57.9 peratus atau 1,613 kes daripada kes baharu dilaporkan itu adalah kes yang telah melebihi empat hari.

"Kelewatan berlaku disebabkan maklumat yang diberikan tidak tepat atau tidak lengkap sekali gus menyukarkan pencarian kes serta kesukaran siasatan di lapangan ekoran peningkatan kes.

"Secara purata, kes COVID-19 harian adalah antara 1,500 dan 1,700 sehari semenjak dua minggu lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 128,666 dan merekodkan 1,774 kematian.

Peningkatan kluster juga menjadi penyumbang utama peningkatan kes di negeri ini dengan 10 kluster baharu dilaporkan semalam melibatkan lima kluster industri, dua kluster komuniti dan tiga kluster institusi di daerah Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Kluang.

"Kluster industri menyumbang sebanyak 72 peratus daripada kluster yang masih aktif, melibatkan 12,201 kes. Bilangan kontak rapat positif yang tinggi iaitu sebanyak 1,228 kes direkodkan semalam, menunjukkan kelemahan di dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada," katanya.

-- BERNAMA