JOHOR BAHRU: Sebuah sekolah di Batu Pahat yang mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa dan jantina pelajarnya, tampil memohon maaf atas insiden terbabit.

Surat permohonan maaf itu dikongsi di akaun sosial Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam surat berkenaan, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Bentara Luar, Abdul Razak Hamid mengakui, pihaknya terlepas pandang isu perkauman dalam maklumat yang diedarkan kepada semua pelajar Tingkatan 1 berhubung pendaftaran dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum.

Menurut beliau, kesilapan yang berlaku itu tidak disengajakan dan terjadi atas kesilapan kerana kurang ketelitian sebelum maklumat disebarluas.

Abdul Razak berkata, pentadbiran sekolahnya juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang berlaku.

Ssusulan itu, kata Abdul Razak, pihak sekolah sudah melakukan penambahbaikan dan pembetulan mengikut landasan yang sepatutnya serta mematuhi segala prosedur pelaksanaan termasuk menarik balik dan membatalkan kemudahan pendaftaran secara dalam talian menggunakan ‘Google Forms’ yang telah dimuat naik pada Khamis lalu.

“Pendaftaran semula akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dengan mengedarkan borang pendaftaran sukan dan permainan kepada semua murid,” kata beliau.

BACA: Sukan mengikut kaum: Menteri Pendidikan terkejut, dukacita tindakan sebuah sekolah

Surat permohonan maaf itu juga menyatakan murid boleh memilih sukan dan permainan yang mereka minati.

Bagaimanapun, penyertaan itu kelak masih tertakluk pada bilangan penyertaan ahli kelab sukan dan permainan yang disusun atur oleh pihak sekolah supaya penglibatan murid dalam semua kelab sukan permainan seimbang dari segi bilangan, ras dan jantina.

Baru-baru ini, tular di media sosial notis yang dikeluarkan sebuah sekolah menengah di Batu Pahat yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan 1.

Notis berkenaan menjadi kontroversi berikutan kandungannya yang menyatakan kegiatan sukan dihadkan kepada kaum dan jantina tertentu.

Antaranya, hanya pelajar Melayu dibenarkan memilih sukan bola sepak dan sepak takraw manakala bola jaring untuk pelajar perempuan Melayu sahaja.

Manakala, sukan bola keranjang dan ping pong pula dihadkan kepada pelajar lelaki dan perempuan Cina sahaja.