Siasatan dalaman Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) menyimpulkan bahawa terdapat kemungkinan kumpulan menggelar diri mereka sebagai kesultanan Sulu mendapat 'bantuan dan sokongan' pihak tidak dikenal pasti untuk melakukan pencerobohan ke atas Sabah.

Pengerusi MNLF Muslimin Sema berkata kesimpulan itu berpunca daripada maklumat bahawa kesultanan itu tidak mempunyai keupayaan dan sumber pendapatan untuk melaksanakan operasi ketenteraan yang begitu nekad.

"Kami menyimpulkan terdapat kemungkinan satu bentuk jaminan atau bantuan yang diberi kepada kesultanan Sulu bagi menjalankan ekspedisi (ketenteraan) ke atas Sabah (di Lahad Datu dan Semporna).

"Kesultanan Sulu tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan pencerobohan ke atas Sabah tanpa (mendapat) jaminan daripada 'pihak' tertentu," katanya kepada Bernama menerusi telefon dari Cotabato City, Mindanao, di selatan Filipina, Rabu.

Ditanya mengenai identiti orang yang mungkin membantu kesultanan Sulu itu dalam pencerobohan ke atas Sabah, Muslimin berkata siasatan mereka tidak mendedahkan sebarang 'nama atau wajah'.

Sebulan lepas, kumpulan yang menggelar diri mereka kesultanan Sulu, menghantar kumpulan bersenjata diketuai Azzimudie Kiram ke Kampung Tanduo, Lahad Datu, untuk menuntut Sabah sebagai warisan nenek moyang mereka.

Tindakan mereka mencetuskan pertempuran bersenjata dengan pasukan keselamatan Malaysia yang mengepung kumpulan itu sebelum melancarkan operasi serangan ofensif dari udara dan darat untuk memaksa mereka berundur setelah melepasi beberapa tarikh akhir untuk mereka meletak senjata.

'Operasi Daulat' yang masih diteruskan itu sehingga kini menyaksikan 63 pengganas bersenjata dibunuh dan 10 anggota keselamatan terkorban.

Media Filipina dan pegawai risikan republik itu mendakwa pengganas itu 'dijemput' ke Sabah oleh pemimpin yang bekerjasama rapat dengan parti pembangkang tertentu Malaysia.

Ditanya sama ada kumpulan yang menggelar diri mereka Tentera Diraja Sulu (RSF) yang didakwa mengetuai pencerobohan ke atas Sabah wujud sebelum ini, Muslimin berkata beliau tidak pernah mendengar tentang RSF sebelum berlakunya insiden di Sabah itu.

"Inilah kali pertama saya mendengar tentang tentera (RSF) ini," katanya.

Muslimin berkata siasatan dalaman dijalankan oleh setiausaha agung MNLF, yang pergi ke Tawi-Tawi dan Sulu minggu lepas bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai dakwaan pembabitan anggota pasukan tetap dan bukan tetapnya dalam insiden pencerobohan di Sabah.

Siasatan itu mendapati anggota pasukan tetap dan bukan tetap MNLF yang terbabit dalam pencerobohan itu, kata Muslimin, yang juga naib datuk bandar Cotabato City.

"Sebahagian besar pejuang kami di Tawi-Tawi telah bersara dan menyertai pertubuhan politik, manakala pejuang kami di Sulu pula di bawah kuasa pemerintahan Ustaz Khabier Malik," katanya.

Muslimin, yang juga diminta mengulas kenyataan Nur Misuari bahawa beliau masih pemimpin MNLF, berkata jawatankuasa pusat MNLF memutuskan pada 2008 untuk memilih beliau (Muslimin) sebagai pengerusi barisan berkenaan.