KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 syarikat Malaysia dijangka mengetengahkan kepakaran masing-masing pada acara Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough 2024 (FIA 2024), United Kingdom pada 22-26 Julai ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Akselarasi Eksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof berkata syarikat terbabit mempunyai kepakaran dalam pengeluaran aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan integrasi sistem.

Kepakaran lain merangkumi perkhidmatan kejuruteraan, pendidikan dan astronautik (bidang berkaitan prinsip asas fizik mengenai penerbangan ke angkasa).

Beliau berkata MATRADE akan menjadi peneraju di Pavilion Malaysia menerusi kerjasama dengan Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO).

"Kami mempelawa syarikat-syarikat aeroangkasa Malaysia untuk mengambil peluang ini dengan menyertai kami di FIA 2024," katanya dalam kenyataan semalam.

Abu Bakar turut berkongsi keyakinannya dalam sektor aeroangkasa Malaysia menerusi eksport produk yang melonjak sebanyak 31 peratus dan mencecah RM979.9 juta bagi tempoh dua bulan pertama 2024 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Destinasi eksport utama bagi produk berkenaan termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Indonesia, UK dan Singapura.

Menurut MATRADE, UK juga merupakan destinasi eksport penting bagi produk aerongkasa Malaysia (turut merangkumi bahagian atau komponen pesawat dan helikopter) bernilai RM287.2 juta pada 2023.

"Permintaan UK terhadap produk dan perkhidmatan aeroangkasa dijangka mengekalkan trajektori peningkatannya, dipacu oleh pemulihan perjalanan udara, kenaikan tempahan pesawat serta pengembangan sektor MRO.

"Sehubungan itu, syarikat-syarikat Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan permintaan kian ketara ini dengan libat urus bersama bakal pelanggan, kalangan pemimpin projek serta pegawai perolehan aeroangkasa pada FIA 2024," katanya.

Pada 2022, MATRADE telah mengadakan sebanyak 332 mesyuarat dan hubungan perniagaan yang merangkumi jumlah jualan sebanyak RM572.6 juta.

Selain itu, syarikat Malaysia yang berhasrat menyertai FIA 2024 boleh menghantar permohonan sebelum 26 April, 2024 dan mendapatkan maklumat lanjut di talian 03-6207 7933.

-- BERNAMA