Skip to main content

Malaysia

Penggiat industri kreatif perlu fahami kontrak, lindungi hak dan pendapatan - FINAS

Azmir Saifuddin (dua, kiri) bercakap pada forum bertajuk 'Seni, Populariti dan Survival Kewangan Memperkasa Industri Kreatif Melalui Dasar Peluang Kedua di AIAC hari ini. - Gambar Bernama
Azmir Saifuddin (dua, kiri) bercakap pada forum bertajuk 'Seni, Populariti dan Survival Kewangan Memperkasa Industri Kreatif Melalui Dasar Peluang Kedua di AIAC hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penggiat industri kreatif perlu memahami kepentingan kontrak pekerjaan bagi melindungi hak dan pendapatan mereka, terutama apabila berdepan isu kelewatan bayaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata masih terdapat golongan itu yang bekerja tanpa menandatangani kontrak, sekali gus menyukarkan mereka merujuk terma pekerjaan apabila timbul masalah pembayaran atau penamatan kerja.

“Kadang-kadang apabila mereka bekerja, kontrak pun tidak ditandatangani, jadi apabila ada isu tentang pembayaran lambat atau pembuangan kerja, mereka tidak boleh merujuk mana-mana sebab kontrak tidak ada.

“Pengetahuan tentang kontrak penting untuk diterapkan kepada penggiat industri kreatif kerana kadang-kadang mereka hanya menandatangani kontrak tanpa memahami kandungannya,” katanya ketika menjadi ahli panel forum Seni, Populariti dan Survival Kewangan: Memperkasa Industri Kreatif Melalui Dasar Peluang Kedua (DPK) di sini hari ini.

Forum anjuran Jabatan Insolvensi dengan kerjasama FINAS itu bertujuan meningkatkan kesedaran penggiat industri kreatif mengenai pengurusan kewangan serta peranan DPK dalam membantu individu yang berdepan masalah kewangan dan hutang.

Azmir Saifuddin berkata penggiat industri kreatif juga perlu memahami skop kerja dan hak yang terkandung dalam kontrak, termasuk berkaitan penggunaan wajah pelakon menerusi kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi menjejaskan pendapatan mereka.

“Contohnya, dia nak berlakon drama TV untuk tiga babak, tetapi wajahnya digunakan sampai dua jam menerusi AI, sedangkan dia tidak membaca kontrak dan tidak tahu haknya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Azmir Saifuddin mencadangkan FINAS bersama-sama persatuan industri memperkukuh pengetahuan pengurus artis tentang pengurusan kewangan dan perancangan kerjaya supaya peranan mereka melangkaui urusan jadual serta perhubungan awam.

Beliau turut mencadangkan bimbingan keusahawanan diberikan sejak awal kepada penggiat industri kreatif yang berminat untuk berniaga, termasuk menghubungkan mereka dengan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat dan SME Corp Malaysia sebagai persediaan apabila tawaran pekerjaan berkurangan.

Selain itu, Azmir Saifuddin turut menyeru golongan berkenaan supaya tidak malu mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah kewangan atau kebankrapan.

“Tidak semestinya seseorang itu (bankrap) berada di penghujung jalan kerana sentiasa ada agensi yang boleh membantu seperti Jabatan Insolvensi, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, pusat zakat serta Pertubuhan Keselamatan Sosial,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement