Penggiat seni bakal nikmati manfaat KWSP, Perkeso bermula Januari 2020

Astro Awani
Ogos 26, 2019 08:19 MYT
Menurut Hans, golongan karyawan berpeluang menikmati manfaat KWSP dan Perkeso bergantung pada gaji dan polisi insurans mereka. - Gambar BERNAMA
KELUHAN anak seni tanah air berhubung ketiadaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akhirnya mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.
Seluruh karyawan seni merangkumi pelakon, jurusolek, krew produksi dan sebagainya akan menerima manfaat seperti pekerja swasta lain bermula Januari 2020.
Berita gembira itu diumumkan Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac pada Isnin.
Menurut Hans, golongan karyawan berpeluang menikmati manfaat tersebut bergantung pada gaji dan polisi insurans mereka.
“Pihak kami telah lima bulan berbincang hal ini dengan semua agensi yang terlibat, ini kerana sememangnya boleh dilaksanakan melalui akta Finas (akta 244).
“Caruman akan dibuat oleh majikan iaitu penerbit kepada semua yang terlibat walaupun mereka bekerja dalam tempoh yang singkat," kata beliau ketika ditemui pada sesi Dialog Dua Hala Bersama Penggiat Industri Filem, di Finas, Hulu Kelang hari ini.
Beliau berkata, mekanisme pembayaran ialah dengan cara majikan wajib membuat potongan bayaran kepada mereka yang mendapat gaji minimum RM1,100 sebulan.
“Kalau seseorang itu bekerja dalam dua projek untuk sebuah produksi dalam masa yang sama, maka mereka harus dibayar untuk kedua-dua projek tersebut.
“Jika majikan tidak membayar caruman tersebut, maka Sijil Perakauan Penggambaran Filem (SPP) milik mereka akan ditarik,” tegas Hans lagi.
Selain lebih 300 penggiat seni, Dialog Dua Hala Bersama Penggiat Industri Filem itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Hans turut mengumumkan pelaksanaan skim caruman KWSP dan Perkeso dijangka akan diadakan pada Oktober ini.
#artis #FINAS #Hans Isaac #KWSP #manfaat #pengerusi #penggiat seni #perkeso