NILAI: Penggiat seni dan industri kreatif di negara ini diingatkan supaya sentiasa menyemak garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkaitan sebelum menerbitkan karya dengan tidak menyentuh sebarang sensitiviti termasuk agama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan dan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat apabila sesuatu karya dipertonton kepada umum.

"Di peringkat kementerian, kita pantau dan beri pendedahan, kita juga ada beberapa garis panduan yang boleh digunakan sebagai rujukan kepada semua sekali gus memastikan apa-apa bahan dari luar mendapat kelulusan serta tidak sentuh sensitiviti.

"Kami juga akan sentiasa memantau dan bertindak proaktif bagi memastikan ia tidak sekadar mengawal tapi memastikan apa yang dihidangkan kepada masyarakat adalah sesuatu yang membina dan mematuhi (peraturan)," katanya selepas melancarkan Buku Garis Panduan Persembahan Seni Berbudaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas tindakan sebuah pawagam mengeluarkan poster rasmi filem seram memaparkan kalimah 'Allah' dalam Bahasa Arab pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai sedang dirasuk baru-baru ini.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) semalam dilapor sudah mengarahkan pawagam itu, selaku pengedar filem terbitan syarikat produksi Indonesia berkenaan, untuk menarik balik dan menukar poster.

Terdahulu, Zulkifli berkata, beliau yakin garis panduan yang terkandung di dalam buku yang baru dilancar itu tidak menyekat kebebasan terutama pelajar untuk menceburi bidang seni dan berharap ia mampu membentuk sahsiah yang baik serta memperkasakan jati diri. - BERNAMA