KUALA LUMPUR: Kerajaan kini di peringkat akhir bagi penggubalan Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata rang undang-undang itu bagi memberikan negara asing kekebalan daripada prosiding sivil di mahkamah Malaysia, tertakluk kepada sekatan kekebalan yang diperuntukkan dalam rang undang-undang berkenaan.

"Berdasarkan prinsip layanan salingan, layanan sama diharapkan akan diberikan kepada Malaysia oleh negara asing, sekiranya prosiding dimulakan terhadap Malaysia di mahkamah negara asing itu.

"Ini mencerminkan usaha Kerajaan Perpaduan dalam menegakkan hak dan kepentingan negara, serta memastikan kedaulatan dan kekebalan Malaysia dilindungi dalam apa-apa prosiding di mana-mana mahkamah, selain mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara lain," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), yang mahu mengetahui status terkini kes waris Sulu dan usaha kerajaan untuk membatalkan final award oleh Dr. Gonzales Stampa di Mahkamah Perancis dan bagaimanakah State Immunity Bill akan membantu menjamin kedaulatan negara.

Mengulas lanjut mengenai kes waris Sulu, Azalina berkata Kerajaan Malaysia sedang mengambil tindakan untuk memfailkan hujahan.

"Ia susulan tindakan pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu, telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada Jun, yang memberi keputusan yang berpihak kepada Malaysia, dengan menolak permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan Final Award di Belanda.

"Kerajaan Malaysia telah dan sedang mengambil pelbagai tindakan secara agresif, untuk mencabar dan menamatkan tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu atau dikenali sebagai Penuntut," katanya.

Beliau berkata mahkamah telah menetapkan tarikh pendengaran kes jenayah Dr Stampa pada 11 Dis 2023 di Sepanyol, berikutan tindakan beliau untuk tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid bertarikh 29 Jun 2021.

-- BERNAMA