KUALA LUMPUR: Penggulungan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohd Sadique di Dewan Rakyat pada Rabu berjalan dalam keadaan tegang apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang beberapa kali ‘mengasak’ menteri tersebut.

Pertikaman lidah selama lebih 10 minit itu juga menyebabkan V Sivakumar (PH - Batu Gajah) diarahkan untuk keluar dari Dewan Rakyat selama 10 minit.

Keputusan itu dibuat Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas Sivakumar enggan duduk walaupun Speaker beberapa kali mengarahkannya untuk duduk.

“YB Batu Gajah, tolong duduk sekejap. Duduk! Kamu nak keluar makan angin 10 minit? Duduk!

“Batu Gajah, tolong keluar daripada Dewan sekarang, 10 minit. Bentara, tolong, 10 minit dari sekarang. Duduk!

“Keluar sekarang, 10 minit. Bentara tolong…

(Sivakumar kemudian terus bercakap, mempersoalkan tindakan Azhar)

“Boleh tanya tapi ikut peraturanlah. Peraturan cakap apa…peraturan cakap apa? Kalau nak mencelah, peraturan cakap apa?

“Kena diberi laluan dulu tapi kalau tak diberi laluan macam mana? Duduk! Keluar sekejap, 10 minit, pergi makan angin,” katanya.

Azhar kemudian memberi masa kepada Halimah untuk meneruskan penggulungan namun ketegangan masih berlaku dengan kali ini melibatkan M Kulasegaran (PH - Ipoh Barat) pula.

Pertikaman lidah tanpa henti itu kemudian menyebabkan Azhar menangguhkan persidangan pada jam 12.55 tengah hari, lima minit lebih awal daripada kebiasaannya.

“Saya bukan nak lindungi menteri, buat apa saya nak lindung? Saya tiada kepentingan pun. Saya minta tolong ya, menteri dah tinggal 11 minit saja,” kata Azhar.

Halimah: “Saya benarkan Sungai Siput (S Kesavan) sahaja.”

Kulasegaran: “Ini lari daripada menjawab…"

Halimah: “Balik pergi makan tosai lah, jawab pun tak faham. Jawapan saya pun tak faham."

Kulasegaran: “On the ground, ramai…”

Azhar: “Saya tangguhkan persidangan ini sehingga jam 12.55, terima kasih,” kata Azhar sebelum bangun meninggalkan Dewan.