ALOR SETAR: Jumlah penggunaan katil yang digunakan bagi merawat pesakit COVID-19 di kebanyakan hospital di Kedah berada pada tahap kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, antara hospital yang berada pada tahap berkenaan ialah Hospital Sultanah Bahiyah iaitu penggunaan sebanyak 92 peratus atau 134 daripada keseluruhan 145 katil.

Menurut beliau, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, pula mencatat jumlah penggunaan katil pada tahap 68 peratus ataupun 34 daripada keseluruhan 50 katil yang disediakan.

Bagaimanapun, bagi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, tiada sebarang penggunaan katil melibatkan pesakit positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan penggunaan di tiga hospital berkenaan adalah 184 daripada 215 katil yang disediakan.

"Bed Occupancy Rate (kadar penggunaan katil), (di) ICU (Unit Rawatan Rapi) Sultanah Bahiyah (pula adalah) 67 peratus,

"Di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Petani adalah pada tahap 69 peratus selain di PKRC ILKKM Kulim pada tahap 55 peratus,

"Itulah betapa ramainya kes positif dan kes di ICU, jadi kita harap rakyat berhati-hati dan berjaga- jaga (selain) mengikut segala SOP (prosedur operasi standard) yang telah digariskan," katanya.

Dr Hayati berkata demikian kepada wartawan selepas Mesyuarat Mingguan EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai di negeri itu agar sentiasa memastikan SOP sentiasa dipatuhi terutama dalam kalangan kumpulan yang berisiko.

Tambahnya, ianya juga bagi memastikan pengurangan dalam kes-kes membabitkan klister baharu di negeri itu khususnya kluster pendidikan dan kluster keagamaan.