MELAKA: Seorang penghantar makanan, Foodpanda yang juga pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak sempat menamatkan pengajiannya selepas maut dalam kemalangan di Bulatan Seri Bayan, Durian Tunggal di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa, Jannahtul Firdaus Jailani, 24, yang mengambil jurusan teknologi kimpalan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terbabit dalam nahas dengan sebuah lori.

Bapa mangsa, Jailani Md Ali, 53, menyifatkan anak kedua daripada empat beradik itu seorang anak yang periang dan rajin.

Menurutnya, Allahyarham sepatutnya akan menjalani latihan industri pada tahun ini, namun sementara menunggu panggilan praktikal dia membuat kerja sambilan sebagai penghantar makanan sejak sebulan lalu untuk mengumpul wang bagi membuat persediaan.

Katanya, Allahyarham mengadu kepada ibunya mahu berehat kerana keletihan sebelum keluar rumah kira-kira jam 9 pagi.

"Dia minta izin nak buat kerja sampingan sementara tunggu praktikal dan arwah baru saja bekerja sebagai penghantar makanan.

"Walaupun arwah tinggal bersama neneknya di Kampung Rembia, namun setiap pagi sebelum pergi bekerja dia akan datang ke rumah bertemu dengan uminya.

"Saya hanya mengetahui kejadian yang menimpa arwah setelah dihubungi individu tidak dikenali lebih kurang jam 12 tengah hari," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Adik mangsa, Jannatul Nur Afiqah Jailani, 21, berkata, Allahyarham abangnya pernah merancang untuk membelikan ayahnya yang bekerja di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebuah kereta, namun tidak menyangka hasrat itu tidak kesampaian.

Sementara itu, Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, hasil siasatan mendapati, pemandu lori berusia 34 tahun dalam perjalanan dari Gangsa menghala ke arah Taman Merdeka, manakala mangsa dari arah Gangsa menghala ke Batu Berendam.

"Kemalangan berlaku apabila lori yang berada di lorong kiri di dalam bulatan telah dilanggar motosikal mangsa pada bahagian tepi hadapan sebelah kanan ketika kenderaan berat itu hendak membelok ke kanan.

"Mangsa penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala dan telah dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat," katanya.

Kes disiasat di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.