Penghantar p-panggilan didakwa menyamun, merogol dan menyamar sebagai polis

Dua lelaki diringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan samun,rogol dan menyamar sebagai penjawat awam di sini hari ini. - Foto Bernama
KLANG: Seorang penghantar p-panggilan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan membabitkan kes rogol, samun secara berkumpulan dan menyamar sebagai anggota polis di Jalan Tapah di sini, minggu lepas.
R. Sathiyaseelan, 32, didakwa merogol seorang kerani wanita berusia 37 tahun sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa di kawasan parkir di Jalan Tapah pada kira-kira 2 pagi 18 Jan lepas mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan ini, Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Peguam Nathiya Kamalanathan memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga dan tidak mempunyai pendapatan tinggi kerana hanya bekerja sebagai penghantar p-panggilan.
Hakim Syarifah Hascindie Syed Omar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan kesemua syarat tambahan yang dimohon pendakwaan.
Sathiyaseelan, yang turut berdepan pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan rakannya M. Balaraj, 34, mengaku tidak bersalah mengambil beg tangan mangsa di lokasi dan waktu sama.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Nor Suhaili memohon kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM20,000 namun Nathiya merayu jumlah itu dikurangkan.
Syarifah Hascindie kemudian menetapkan jumlah jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh beserta kesemua syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Di Mahkamah Majistret, Sathiyaseelan dan Balaraj berdepan pertuduhan menyamar sebagai anggota polis mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh namun Majistret A. Karthiyayini membenarkan mereka diikat jamin RM3,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 5 Mac depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


