MALAYSIA
Pengharaman vape: Syed Mohamed Aljunid berang dituduh tidak berpegang kepada realiti

Program Dialog Tiga Penjuru pada 24 Julai melibatkan panelis terdiri daripada Syed Mohamed Aljunid (kanan), Shahabudeen (tengah) dan Prof Madya Dr Muralitharan Munisamy, Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (kiri). - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Program Dialog Tiga Penjuru Astro AWANI yang bersiaran pada 24 Julai sedikit hangat apabila berlaku sedikit pertelingkahan antara panelis iaitu Pakar Perubatan Awam, IMU University, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid dan Pengarah Nanostix, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman.
Ketika membincangkan tentang tajuk - Malaysia ke arah pengharaman penuh ‘vape’ – Shahabudeen menuduh Syed Mohamed Aljunid sebagai ahli akademik yang tidak berpegang kepada realiti dan memetik kajian yang salah tentang kaitan antara vape dan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Syed Mohamed Aljunid berkata, pemain industri seperti Shahabudeen sentiasa menggunakan alasan bahawa mereka membayar cukai, dengan purata RM25 juta setahun kepada kerajaan, sedangkan kos yang ditanggung untuk merawat NCD akibat rokok dan vape, jauh lebih tinggi iaitu RM1.6 bilion.
Shahabudeen: Minta maaf Profesor, I think you quote the wrong research. Kajian yang Profesor bagi adalah kos terhadap rawatan rokok, bukan rawatan vape. I think Profesor betul-betul keliru.
Syed Mohamed Aljunid: This is not your area, kita tahu apa yang kita lakukan. Penyakit akibat vape ini kebanyakannya juga berkaitan rokok dan sebagainya. Misalnya penyakit darah tinggi disebabkan nikotin. Penyakit yang berkaitan dengan mental disebabkan kandungan, kanser misalnya. Jadi kalau semua ini kita gabungkan, conservative estimation empat kali ganda, jangan menafikan itu!
Syed Mohamed Aljunid berkata, hujah yang mengatakan pemain industri juga membayar cukai untuk ekonomi negara, langsung tidak boleh disamakan dengan potensi kerosakan dan bahaya vape terhadap masyarakat, khususnya terhadap 1.6 juta kanak-kanak di sekolah.
Terdahulu, Shahabudeen berkata, pemain industri sudah melakukan kawalan terhadap produk dan operasi sendiri, malah sebelum bermulanya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober 2024.
Tegasnya lagi, pemain industri yang sah seperti beliau membayar cukai yang tinggi, termasuk duti eksais import, namun pegangan mereka dalam pasaran hanya lima peratus, dan selebihnya adalah produk haram.
Justeru, kata beliau, lebih baik kerajaan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pasaran gelap, yang jelas menguasai penjualan, selain menggunakan bahan atau peranti yang tidak mematuhi undang-undang.
“Kita bayar cukai berpuluh juta setahun, bukan pasal keuntungan. Ini pasal hak asasi dan kita punya sebagai usahawan patriotik, kita nak masyarakat harmoni. Tapi masa sama jangan terlalu jauh dari realiti, hidup dalam dunia kita, fantasi kita dengan mungkin mengeluarkan idea yang tak ikut logik akal.
“Kenapa perlu mangsakan peniaga berbanding menguatkuasakan undang-undang sedia ada. Kalau kita tak suka undang-undang ni, kita haramkan undang-undang tu, bukannya kita haramkan orang yang ikut undang-undang,” tegasnya lagi.
Namun hujah tersebut ditolak Syed Mohamed Aljunid yang menegaskan, industri lain juga membayar cukai yang tinggi, tetapi tidak berpotensi menjejaskan kesihatan seperti mana impak vape dan rokok.
“Hak individu tidak membolehkan kita menidakkan hak komuniti, sebab itu kita tidak mahu mereka menghisap rokok atau vape di ruangan terbuka atau kedai makan dan sebagainya.
"Nak hisap rokok atau vape jangan sampai menyebabkan masyarakat luar menanggung akibat. Individual rights don’t allow you to destroy community’s rights.
“Hujah tentang pembayaran cukai adalah senjata industri, menunjukkan mereka berkontribusi … tetapi akhirnya apa yang berlaku adalah kerosakan dalam masyarakat kita, tahap kesihatan 1.6 juta kanak-kanak sekolah terdedah dengan vape yang menyebabkan masa depan mereka akan lebih kabur.
“Ambil balik RM25 juta anda, buka industri lain, tutup kilang buat pod tadi lebih baik. Tak payah anda hantar pod untuk disahkan di United Kingdom dan sebagainya. Cari industri lebih mudah. Anda bayar RM25 juta tapi kita belanjakan RM4 hingga RM5 bilion untuk rawat penyakit berkaitan vape, NCD, apakah ini justified?” tegasnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami