Penghuni apartmen servis atau pangsapuri perkhidmatan dijangka mendapat kemudahan awam seperti kawasan perumahan lain dengan pembentukan dua garis panduan perancangan (GPP) iaitu GPP Pangsapuri Perkhidmatan dan GPP Pembangunan Bercampur Pelbagai.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ketika ini dasar dan pelaksanaan apartmen servis adalah berbeza di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya ia juga tidak tertakluk kepada syarat pembangunan perumahan iaitu penyediaan kemudahan awam dan tiada kawalan harga jualan.

"Pembeli tidak sedar dari awal tentang kos tinggi untuk mendiami apartmen servis yang mempunyai kadar tarif utiliti dan cukai hartanah lebih tinggi kerana ia didirikan di atas tanah perniagaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.

Katanya MPFN juga mengambil maklum cadangan untuk mengkategorikan apartmen servis sebagai pembangunan perniagaan dan bukan kediaman kekal.

Abdul Rahman berkata pelaksanaan pembangunan apartmen servis perlu dikaji semula memandangkan ia telah meningkat naik dan menjadi trend gaya hidup masa kini sejak ia bermula pada 1998.

Pada suku keempat 2014, terdapat sebanyak 63,689 unit apartmen servis yang sedia ada di negara ini manakala 83,968 unit pula sedang dalam pembinaan dan 71,569 unit lagi telah lulus pelan pembangunan.

Antara negeri yang mempunyai jumlah unit apartmen servis tertinggi ialah Johor iaitu 78,571; diikuti Kuala Lumpur (61,489); Selangor (56,527); Negeri Sembilan (8,426) dan Pahang (4,250).

Selain itu, beliau berkata mesyuarat MPFN turut membincangkan perancangan susun atur pembangunan Bandar Amanjaya Kedah, status pelaksanaan keputusan Dasar MPFN, status pelaksanaan pelan induk rangkaian Koridor Ekologi Central Forest Spine di Semenanjung dan Laporan Kemampanan Bandar Malaysia bagi tahun 2014.