KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan pengiktirafan bak kut teh sebagai hidangan warisan negara tiada kaitan dengan isu bangsa atau agama.

Ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pengiktirafan berkenaan dibuat mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

"Bak kut teh bukan satu makanan yang baru ada pada hari ini.

"Kita tahu makanan bak kut teh dalam masyarakat ada yang halal, tidak halal, dan vegetarian. Pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan adalah mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan ia tidak kena-mengena dengan isu bangsa atau agama.

"Saya memohon semua pihak termasuk ahli-ahli Yang Berhormat saling hormat-menghormati pelbagai budaya dan agama di negara ini demi menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

King Sing juga meminta pihak pembangkang khususnya Pas agar jangan berpura-pura tidak faham mengenai makanan tersebut.

"Saya rasa saya tak payah jelaskan panjang lebar (mengenai bak kut teh) kerana dalam media sosial seperti Facebook, YouTube dan TikTok, semuanya sudah cukup jelas.

"Tanya Pas dulu fasal bak kut teh. Pas pun ada buat. Jangan pura-pura tak faham. Pas sudah perkenal bak kut teh (halal) pada 2018," tambah beliau.

Pada 24 Febuari lalu, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin menyenaraikan 10 makanan yang diwartakan sebagai warisan .

Selain bak kut teh, makanan lain yang turut tersenarai adalah burasak, mi kolok, nasi ambeng, dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira.

Perkara itu menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

King Sing kemudian mengingatkan Dr Muhamad agar tidak menjadi pembangkang atau kumpulan ekstremis, selain meminta beliau merujuk kamus berkenaan definasi ‘bak’.