KUALA LUMPUR: Susulan penurunan harga minyak kelapa sawit, pengilang diharap dapat menurunkan harga minyak masak tidak bersubsidi sekurang-kurangnya 10 peratus dalam tempoh seminggu dua ini.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu antara yang diputuskan oleh mesyuarat yang beliau pengerusikan di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pasukan khas itu akan terus melakukan libat urus dengan pengilang minyak masak bagi memastikan harga barangan itu dapat diturunkan.

“Kita sangat memerlukan persefahaman di peringkat kilang, sepantas mana mereka naikkan harga sewaktu minyak naik harga dulu, sepantas itu mereka kena segera turunkan harga berbanding harga sekarang, iaitu pada RM42 bagi botol 5 kilogram (kg).

"Kita bersetuju sekali lagi untuk memohon kerjasama semua pengilang dan dalam masa seminggu dua kita ingin lihat harga minyak masak diturunkan kepada paras sekurang-kurangnya 10 peratus lebih rendah daripada harga dijual,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu Annuar berkata, kerajaan akan menganjurkan program Jualan Lebih Murah Keluarga Malaysia di 600 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan, sepanjang 2022.

Beliau berkata, program itu akan diadakan setiap minggu, dengan peruntukan RM80 juta.

Katanya lagi, produk tumpuan berupa ayam, telur, minyak masak dan beras dengan jangkaan pengurangan harga sehingga 20 peratus.

"Kalau dulu kekerapan dua kali sebulan, kali ini sasaran pada setiap minggu sepanjang bulan. Empat kali sebulan di setiap kawasan daripada 613 kawasan dipilih.

“Ini bermakna dalam sebulan saja terdapat lebih kurang 2,400 lokasi premis Jualan Lebih Murah ini dan ia akan berjalan sehingga lima bulan (bermaksud) hampir 12,000 program Jualan Lebih Murah akan dilaksanakan sepanjang 2022 ini,” kata Annuar.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, program tersebut akan dilakukan dengan kerjasama lima kementerian, iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Pertanian dan Indusri Asas Tani; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, program tersebut akan melibatkan penyertaan kerjasama pemimpin tempatan serta wakil rakyat di kawasan masing-masing supaya mereka dapat memilih tempat, membuat publisiti dan sama-sama menganjurkan program secara secara besar-besaran itu.