KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan, tindakan beberapa pengimport telur yang ingin menyaman beliau susulan kenyataan semasa sidang Dewan Rakyat pada Februari lalu tidak berhasil.

Beliau berkata, menerusi satu surat yang diterima daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyatakan sebarang ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen ketika sidang berkenaan adalah terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Terima kasih Speaker yang menjawab surat saya dan mempertahankan hak ahli Parlimen bersuara. Saya akan terus mengangkat suara majmuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu ciapan di Twitter pada Isnin.

Menerusi surat balas berkenaan, Johari memaklumkan bahawa Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan perlindungan kepada ahli Parlimen berhubung apa-apa jua yang dikatakan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.

"Sehubungan itu, apa-apa ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen dalam mesyuarat Majlis Parlimen adalah terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tiada prosiding di mana-mana mahkamah boleh diambil terhadap ahli Parlimen berhubung apa-apa jua yang dikatakan," menurut surat berkenaan.

Sebelum ini, Ka Siong yang juga Presiden MCA menerima dua surat saman daripada pengimport telur susulan kenyataan mengenai isu kekurangan telur yang dibangkitkannya ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Terkilan dengan perkara tersebut, Ka Siong kemudiannya mengemukakan surat penjelasan kepada Johari bagi memohon respons.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah tidak wajar kerana setiap wakil rakyat mempunyai imuniti ketika berbahas di Parlimen.

Jelas beliau, dewan tersebut hakikatnya merupakan medan penting bagi mana-mana ahli Parlimen untuk membawa suara orang ramai. - Sinar Harian