KUALA LUMPUR: Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melibatkan pembelajaran psikomotor dan pemerkasaannya, memerlukan penglibatan yang aktif dan progresif oleh industri dan pihak berkaitan.

Pensyarah Sains dan Pendidikan Teknikal Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Muhd Khaizer Omar berkata penglibatan pihak industri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), akan lebih membantu penyedia pendidikan untuk membangunkan bakat pelajar yang menceburi TVET.

"Salah satu daripada kekangan yang dihadapi pendidik TVET ialah peralatan yang disediakan di pusat pengajian tidak mencerminkan dengan tepat apa yang ada di industri, kerana sesebuah industri sentiasa menaiktarafkan peralatan berdasarkan keperluan pengeluaran semasa.

"Oleh itu, dengan penglibatan GLC dan syarikat swasta, TVET akan lebih progresif dan praktikal di peringkat akar umbi kerana bentuk kurikulum perlu diterjemahkan kepada sudut hands-on secara langsung," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.

Muhd Khaizer juga mencadangkan untuk diwujudkan akademi berteraskan TVET dalam GLC, supaya pelajar yang berkemahiran tinggi boleh dilatih secara berterusan.

Profesor Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mohamad Sattar Rasul juga berpandangan, TVET amat memerlukan kerjasama GLC dengan pihak industri kerana langkah itu berupaya menentukan kebolehpasaran graduan.

Beliau berkata selain itu, kewujudan sebuah dasar atau polisi yang jelas menyatakan bahawa pemerkasaan TVET memerlukan kerjasama pihak berkaitan boleh mengurangkan isu salah padan sekali gus memenuhi permintaan industri.

"Ia supaya tenaga kerja yang diperlukan oleh industri boleh dihasilkan daripada institusi TVET secara selari, jadi mereka tidak perlu lagi nak retrain atau reskill, cuma perlu upskill berdasarkan keperluan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar institusi TVET mendapatkan pengiktirafan badan-badan diterajui industri supaya pelajar didedahkan kepada keperluan industri dari semasa ke semasa dan bukannya terhad kepada kurikulum akademik sahaja.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan penglibatan serta kerjasama pihak swasta dan GLC diperhebatkan dalam usaha memperkasakan TVET.

Beliau berkata ia penting untuk memenuhi keperluan industri serta menyelesaikan sebahagian masalah seperti salah padan atau latihan yang tidak diperlukan oleh industri, serta kemudahan yang tidak memuaskan.

-- BERNAMA