KUALA LUMPUR: Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kesihatan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diselaraskan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, pendaftaran secara rasminya juga telah dibuka pada 12 Julai lalu.

"Penglibatan NGO Kesihatan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) NGO adalah amat penting bagi meluaskan capaian dan memaksimumkan vaksinasi kepada golongan terlantar (bedridden), kurang upaya, gelandangan dan penduduk di kawasan pedalaman serta masyarakat Orang Asli.


"Terkini terdapat enam NGO yang aktif menjalankan vaksinasi di seluruh negara iaitu Persatuan Bulan Sabit Merah, National Cancer Society Malaysia, MERCY Malaysia, IMAM Response and Relief Team, One Hope Charity dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)," katanya dalam ciapan terbaharu di laman Twitternya pada Ahad.


Terdahulu, pada pagi Ahad, Dr Noor Hisham menjelaskan telah berpeluang menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dalam lawatan rumah ke rumah di sekitar Sungai Buloh dan Batu Caves, Selangor.


Ia merupakan Program Perkhidmatan Jangkau Luar (outreach) Vaksinasi Komuniti di bawah PICK.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Protecthealth, Datuk Dr Anas Faizli menjelaskan, pihaknya sangat menghargai penglibatan NGO Kesihatan dalam PICK bagi meluaskan capaian vaksinasi kepada golongan terlantar (bedridden), kurang upaya, gelandangan, kawasan pedalaman dan orang asal.

"Tugas mereka sememangnya tidak mudah kerana cabaran logistik dan kumpulan sasaran yang memerlukan komitmen dan daya tahan yang tinggi. Tiada siapa yang selamat sehingga semua selamat," katanya.

"Sehingga kini, lebih 10,000 dos vaksin telah diberikan oleh PPV NGO yang berdaftar melalui ProtectHealth menjalankan vaksinasi di dalam PICK secara home vaccination atau pun PPV skala kecil seperti di dewan atau rumah ibadat. 2,000 adalah daripada home vaccination," jelasnya.

Katanya, penglibatan NGO Kesihatan amat penting bagi melengkapi capaian vaksinasi golongan yang memerlukan dan kawasan pedalaman.

Beliau turut menjemput NGO Kesihatan untuk berdaftar dengan ProtectHealth bagi menyertai PICK.

Paling penting jelasnya, tiada siapa yang selamat sehingga semua selamat dan langkah itu penting untuk individu yang tidak dapat ke PPV.