SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penternak yang membiarkan ratusan lembu menceroboh kawasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkata, haiwan ternakan itu dikesan berkeliaran di kawasan hospital itu pada waktu malam sejak sebulan lalu.

"Seperti kita ketahui, hospital memang kawasan larangan yang sepatutnya tidak boleh dibiarkan lembu ini berkeliaran.

"Pihak hospital ada menghantar gambar dan saya dapati ratusan lembu dibiarkan meragut kawasan rumput di tempat awam ini," katanya ketika ditemui selepas operasi secara bersepadu di HTAJ Sabak Bernam pada Khamis malam.

Operasi kira-kira jam 10 malam itu disertai agensi penguat kuasa terdiri daripada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

Rizam memberitahu, dalam operasi itu, beberapa penternak lembu yang menyedari kehadiran penguat kuasa segera bertindak memindah dan mengalihkan haiwan ternakan ke tempat lain.

Jelas beliau, pihaknya telah memanggil dan memberi teguran kepada penternak lembu terbabit.

"Kita telah memberikan nasihat kepada penternak dan jika masih berlaku kami akan mengambil tindakan lebih tegas termasuk merampas lembu dan mengenakan kompaun kepada penternak," kata beliau.

Menurut beliau, haiwan ternakan sepatutnya diikat dan diletakkan ke dalam kandang selain tidak dilepaskan pada jarak kurang dua kilometer di premis kerajaan dan tempat awam.

Sehubungan itu, katanya, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri mengkaji semula Seksyen 5 (1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

Beliau memberitahu, perkara itu penting bagi memastikan enakmen itu dapat berfungsi mencegah perbuatan tersebut, memandangkan kesalahan membiarkan haiwan berkeliaran tanpa kawalan hanya dihukum penjara sehingga setahun dan denda maksimum RM1,000.

"Saya berharap enakmen lebih tegas dapat diambil bagi memberi kesedaran kepada penternak supaya tidak melakukan kesalahan tersebut," jelas beliau.

Selain itu, katanya, beliau juga merancang untuk mengadakan sesi perjumpaan bersama lapan penternak lembu sekitar daerah itu bagi mendengar permasalahan dihadapi dan mencari jalan penyelesaian sewajarnya.

"Jika mereka tak ada tempat dan ada lambakan lembu, mungkin saya boleh bincang dengan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam dan MDSB untuk melihat tanah kerajaan yang boleh disewa penternak untuk dijadikan padang ragut dengan memenuhi syarat ditetapkan," tambah beliau. - Sinar Harian