Penguatkuasaan JPJ terhadap kenderaan berat sepanjang tahun - Loke

Loke menegaskan semua pemain industri tidak seharusnya melakukan sebarang pelanggaran undang-undang bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan terhadap mereka. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Aktiviti penguatkuasaan undang-undang terhadap kenderaan berat, termasuk menerusi Op Perang Lebih Muatan, akan terus dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan bersifat bermusim, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke menegaskan semua pemain industri tidak seharusnya melakukan sebarang pelanggaran undang-undang bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.
“Tahun lepas, kerajaan melancarkan operasi besar-besaran terhadap kes muatan berlebihan dan ia memberi kesan signifikan dengan menunjukkan keseriusan kerajaan menangani isu ini. Namun, masih ada pihak yang menyangka penguatkuasaan tersebut berakhir pada Disember lalu.
"Saya ingin menegaskan bahawa aktiviti penguatkuasaan ini dilaksanakan secara berterusan dan merupakan tugas utama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Beliau berkata Op Perang Lebih Muatan yang dilaksanakan dari 14 Okt hingga 31 Dis tahun lalu telah memeriksa 169,965 kenderaan, dengan 3,563 daripadanya didapati membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.
Susulan itu, katanya sebanyak 6,843 notis telah dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan, manakala 4,983 saman JPJ(P)22 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 turut dikeluarkan.
Beliau mengingatkan pemain industri supaya tidak mengambil kesempatan semata-mata untuk mengejar keuntungan dengan membawa muatan berlebihan.
“Jika didapati melanggar peraturan, tindakan tegas akan diambil. Jangan tersilap anggap bahawa penguatkuasaan telah dihentikan atau diperlahankan,” katanya.
Selain memberi tumpuan kepada kenderaan berat, Loke berkata penguatkuasaan JPJ tahun ini turut menekankan aspek keselamatan jalan raya secara menyeluruh, termasuk menangani isu pemandu mabuk, lumba haram serta keselamatan penunggang motosikal.
“Penguatkuasaan bukan hanya tertumpu kepada lori berat, malah isu pemandu mabuk, mat rempit serta keselamatan penunggang motosikal juga perlu diberi perhatian serius dan diperkukuh,” katanya.
Beliau menegaskan penguatkuasaan berterusan itu bertujuan memastikan jalan raya selamat digunakan oleh orang ramai serta mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang pengangkutan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


