Kementerian Kesihatan perlu meningkatkan penguatkuasaan terhadap semua taman asuhan, bimbingan dan didikan kanak-kanak terutamanya dari segi pengendalian kes penyakit berjangkit seperti Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Menurut Pakar Kanak-kanak, Profesor Dr Mariani Md Nor, penutupan pusat penjagaan dan didikan kanak-kanak itu wajar dilakukan supaya kerja pembersihan dan disinfeksi dapat dilakukan demi kesihatan kanak-kanak.

Di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, kerajaan boleh mengambil tindakan menutup mana-mana taska, tadika, tabika atau pra-sekolah yang mempunyai kes HFMD.

Bagaimapun, Dr Mariani menjelaskan kemungkinan pihak taska berdepan cabaran ketika membuat keputusan untuk menutup premis.

"Penutupan taska atau tadika tidak semudah itu kerana ini adalah perniagaan mereka. Ibu bapa juga memaksa mereka buka kerana mereka sibuk bekerja.

"Oleh itu, penguatkuasaan perlu ditingkatkan, sama ada dari kementerian atau Jabatan Kebajikan Masyarakat, supaya pusat itu ditutup.

"Kalau dibuka juga, dan selepas amaran dikeluarkan sehingga 3 kali, kementerian boleh tarik balik lesen mereka," kata Dr. Mariani kepada Astro AWANI.

Sebelum ini, sebanyak 27,296 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas, meningkat 28 peratus atau 21,303 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 50 peratus daripada laporan adalah daripada 341 buah taska, tadika, tabika dan pra-sekolah di seluruh negara.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan juga berkata, penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska dan tadika. '

Ia disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis.

Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh (7) ke 10 hari.

Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis. dan tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit HFMD.

Antara tanda-tanda gejala penyakit HFMD:

1) Demam
2) Ulser di tekak dan mulut
3) Ruam dengan lepuh di tapak tangan, kaki, lutut, kawasan lampin
4) Sakit kepala
5) Hilang selera makan