KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan enam individu yang dipercayai terlibat dalam kesalahan pengubahan wang haram.

SC dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka ialah Noor Hayazi Ahmad dengan alamat terakhir di Jitra, Kedah; Muhammad Harith Aiman Shaharuddin (Petaling Jaya, Selangor) dan Ahmad Azlan Edi (Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur).

"Tiga lagi individu ialah Muhammad Rafie Hadhari beralamat terakhir di Markas Tentera Darat, Jalan Kementah di sini serta di Lubok China dan Masjid Tanah di Melaka.

"Gary Tapau Umut pula beralamat terakhir di Engkilili, Sarawak, Taman Tampoi Indah dan Taman Desa Harmoni di Johor serta di Kepong di sini manakala individu terakhir iaitu Amir Shahrum Nordin pula beralamat terakhir di Tronoh dan Bandar Seri Iskandar di Perak serta Jalan Larkin di Johor," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kesemua individu terbabit disiasat atas kesalahan melanggar Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) kerana menerima hasil haram melalui akaun bank mereka.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana individu berikut boleh memaklumkan kepada SC di talian 012-6108 793 atau e-mel kepada [email protected]," katanya. - BERNAMA