Kajian terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendedahkan sebahagian besar pengundi daripada kalangan kaum Cina adalah kumpulan pengundi atas pagar.

Kajian terhadap 1,409 responden itu mendapati 53 peratus responden kaum Cina masih belum menentukan parti mana yang akan jadi pilihan mereka, Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

"Isu integriti mendominasi pemikiran majoriti pengundi Cina dalam menentukan parti mana yang akan jadi pilihan mereka," jelas Pengarah UMCEDEL Prof. Datuk Dr Redzuan Othman.

Kajian itu dibuat selama dua minggu antara 26 Disember tahun lalu sehingga 11 Januari lepas, melibatkan responden di seluruh Semenanjung Malaysia. Ia melibatkan mereka yang sekurang-kurangnya akan mengundi untuk kali pertama dalam pilihan raya.

Selain pengundi Cina, 37 peratus responden dalam kalangan pengundi Melayu juga merupakan golongan atas pagar.

Hanya 10 peratus pengundi India yang belum membuat keputusan.

"Kesemua mereka berlatarbelakangkan pendidikan peringkat universiti dan berusia antara 21-30 tahun," jelas Dr Redzuan.

Tambah beliau, 48 peratus responden merupakan pengundi yang bakal memilih buat pertama kali dalam PRU-13 nanti.

Siapa Melayu Atas Pagar?

Kajian terbaru UMCEDEL juga, sama seperti kebanyakan kajian akademik sebelum ini, menunjukkan peningkatan sokongan masyarakat Melayu kepada pemerintah Barisan Nasional.

Namun apa yang lebih menarik ialah kajian terbaru UMCEDEL ini memperincikan demografi 37 peratus responden di kalangan pengundi Melayu atas pagar.

"Kebanyakan daripada pengundi Melayu atas pagar ini merupakan penjawat awam dan guru yang memiliki ijazah," jelas Dr Redzuan.

Kajian terbaru ini juga menunjukkan, kedua-dua faktor calon dan parti hampir sama penting kepada pengundi dalam membuat keputusan.

Sejumlah 48 peratus responden melihat faktor calon sebagai keutamaan manakala 47 peratus responden menyatakan akan memilih parti politik.