Skip to main content

Malaysia

Pengundi muda penentu utama pilihan raya masa hadapan - Pakar

81768913495_TBUNDI.jpg
Wong berkata pengundi muda akan menjadi penentu pada masa depan disebabkan pendedahan dan akses kepada maklumat politik serta jika sistem pengundian diubah kepada dalam talian. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Peningkatan bilangan pengundi muda berikutan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik atau Undi 18 telah mengubah landskap asas pilihan raya Malaysia dengan meletakkan golongan itu sebagai kuasa penentu pada pilihan raya akan datang. 

Pensyarah sejarah Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Danny Wong berkata pengundi muda akan menjadi penentu pada masa depan disebabkan pendedahan dan akses kepada maklumat politik serta jika sistem pengundian diubah kepada dalam talian. 

Advertisement

Justeru, beliau mencadangkan supaya sistem pengundian diubah kepada secara dalam talian dengan ciri keselamatan tambahan bagi mendapatkan sokongan pengundi muda yang semakin meningkat yang dijangkakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). 

“Dengan kemunculan teknologi blockchain, ahli politik mungkin mahu mencuba memudahkan pengundi muda melalui pengundian dalam talian,” katanya.

Wong berkata demikian semasa menjadi ahli panel pada pelancaran dan ulasan pakar buku Engaging a Generation: Voting Intention and Political Participation among Malaysian Millennials di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini hari ini. 

Wong berkata menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun memperkenalkan generasi yang bukan sahaja lebih muda tetapi juga lebih terdedah kepada platform digital, membolehkan mereka membentuk pandangan politik secara bebas dan tidak bergantung kepada pengaruh tradisional seperti keluarga atau komuniti. 

Beliau berkata anjakan ini diperkukuh dengan peningkatan media sosial dan komunikasi digital yang telah menjadi sumber utama maklumat politik golongan pengundi muda, terutamanya generasi milenium dan generasi Z yang lebih berusia. 

“Golongan muda Malaysia semakin membuat keputusan berdasarkan maklumat dikumpul secara dalam talian termasuk blog, audio siar (podcast) dan perbincangan media sosial, bukannya mengikut kesetiaan politik yang telah lama wujud. 

“Bagaimanapun, kebebasan ini juga menimbulkan ketidakpastian kerana pembuat dasar dan parti politik terus bergelut untuk memahami cara melibatkan diri secara berkesan dengan demografi ini, yang kini membentuk sebahagian besar pengundi,” katanya.

Seorang lagi ahli panel, Pengarah Urusan Watchtower Advisory Shahril Hamdan berkata terdapat andaian dalam wacana politik termasuk idea corak pengundian jelas terbahagi mengikut garis bandar-luar bandar atau pengundi muda sangat dipengaruhi oleh ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata andaian itu tidak lagi relevan kerana akses kepada maklumat telah merentasi geografi dengan pengundi muda beroperasi dalam ruang perkongsian maklumat digital yang membentuk perspektif mereka.

Selain itu, beliau menekankan penyertaan politik sedang berkembang dengan penglibatan dalam talian semakin menggantikan bentuk tradisional seperti perhimpunan yang memerlukan golongan politik untuk menyesuaikan diri dengan cara komunikasi dan jangkauan baharu. 

Perbincangan itu merumuskan penglibatan berterusan melalui pendidikan sivik, literasi digital dan komunikasi berasaskan isu penting untuk memastikan pengundi muda dilengkapi maklumat bagi membuat keputusan kerana mereka akan terus memainkan peranan yang menentukan masa depan demokrasi Malaysia. 

-- BERNAMA

Must Watch Video