BERMULA pada 1 Januari lalu, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah dalam usaha untuk menangani masalah rokok tidak sah.

Antaranya dengan membekukan lesen import rokok baharu, memperketatkan pembaharuan lesen import rokok dan mengenakan cukai  ke atas rokok serta produk tembakau di semua Pulau Bebas Cukai.

Malangnya, dalam tempoh lima tahun, cukai rokok sah masih tidak dinaikkan dengan alasan yang sentiasa diberi oleh sesetengah pihak bahawa kenaikan cukai eksais ke atas rokok pada November 2015 menyebabkan kerajaan kerugian berbilion ringgit disebabkan lambakan rokok tidak sah.

Ada juga yang berpendapat harga rokok sah patut diturunkan atau industri rokok dibenarkan untuk mengeluarkan produk baharu dengan harga lebih kompetitif dengan rokok tidak sah.

Persoalannya, adakah kajian telah dibuat dengan menurunkan harga rokok sah akan mengurangkan lambakan rokok tidak sah? Ataupun hanya andaian yang dibuat berdasarkan desakan pihak tertentu?

Sebagai penganalisis ekonomi kesihatan yang menjurus kepada kajian rokok sah dan rokok tidak sah di Malaysia, kajian telah pun dijalankan untuk mencari faktor yang menyebabkan peningkatan lambakan rokok tidak sah tersebut.

Hasil kajian menunjukkan harga rokok sah yang naik disebabkan kenaikan cukai bukanlah faktor yang menyumbang kepada lambakan rokok tidak sah di Malaysia, tetapi kualiti institusi yang lemah berpunca daripada korupsi adalah faktor utama dalam hal ini.

Kajian yang sama di peringkat global juga menunjukkan harga rokok sah bukan faktor yang sentiasa diuar-uarkan oleh industri.

Buat masa ini, skor Indeks Persepsi Korupsi untuk Malaysia adalah 53 peratus iaitu hanya separuh daripada skor terbaik 100 peratus.

Oleh itu, kerajaan sepatutnya bertindak untuk mengurangkan masalah lambakan rokok tidak sah dengan memberi perhatian isu berkaitan penguatkuasaan dan korupsi, namun bukan dengan tidak menaikkan cukai.

Tidak hairanlah sekiranya harga rokok diturunkan sama ada dengan memperkenalkan produk baharu atau turunkan kadar cukai tidak akan meningkatkan hasil kerajaan seperti yang diharapkan.

Keadaan itu akan menyebabkan negara masih lagi dibelenggu dengan masalah rokok tidak sah.

Perokok yang menghisap rokok tidak sah tidak akan mudah beralih ke rokok sah yang dicadangkan lebih murah berbanding sekarang.

Hal ini kerana kandungan nikotin yang lebih tinggi dalam rokok tidak sah akan menyebabkan faktor ketagihan selain daripada faktor ia mudah didapati di pasaran.

Sekiranya kita prihatin dengan perokok B40 yang terjejas teruk semasa COVID-19, bukannya dengan cara memberi mereka alternatif kepada rokok sah yang lebih murah, tetapi membantu mereka untuk berhenti merokok.

Terdapat lebih kurang 10,000 rakyat Malaysia yang mati setiap tahun berpunca daripada penyakit berkaitan dengan tabiat merokok.

Kerajaan juga telah berbelanja lebih daripada RM10 bilion untuk merawat penyakit akibat daripada rokok setiap tahun.

Tanpa kenaikan cukai ke atas rokok, kerajaan telah kehilangan berbilion jumlah hasil cukai dan pada masa sama perlu berbelanja berbilion untuk merawat penyakit disebabkan rokok.

Jadi, disarankan kerajaan mengkaji semula untuk menaikkan cukai rokok dan hasil daripada cukai itu boleh disalurkan dalam meningkatkan penguatkuasaan untuk membenteras rokok tidak sah serta sebahagian lagi digunakan untuk membantu perokok untuk berhenti merokok.

Kajian dijalankan di 176 negara oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan negara dengan harga rokok yang tinggi, pasaran rokok tidak sahnya lebih rendah berbanding negara yang harga rokoknya rendah.

Hasil kajian itu menguatkan lagi sebab mengapa kerajaan sepatutnya menaikkan kadar cukai eksais ke atas rokok.

Menurut sumber Kementerian Kesihatan, bilangan perokok yang memohon bantuan untuk berhenti merokok turut meningkat semasa pandemik COVID-19.

Jadi, sekali lagi ditekankan rokok berbahaya pada kesihatan, justeru disyorkan supaya program Berhenti Merokok atau Jom Quit yang dilakasanakan oleh Kementerian Kesihatan terus diperluaskan dengan mendapat lebih peruntukan daripada kerajaan.

Hal ini bagi memastikan Malaysia mencapai matlamat negara bebas asap rokok pada tahun 2045.


* Penulis ialah Pakar Ekonomi Kesihatan dan Timbalan Dekan (Prasiswazah & Alumni), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI