MALAYSIA
Pengurangan tarif AS pencapaian positif, langkah baik ke hadapan - Chow

Chow Kon Yeow berharap MITI akan terus merundingkan perjanjian yang lebih baik dan bersedia menghadapi kesan yang mungkin berlaku. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus dilihat sebagai langkah baik ke hadapan sekali gus merupakan pencapaian positif dan melegakan banyak pihak, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Beliau berkata perusahaan kecil sederhana (PKS) mungkin kekal terdedah kepada persekitaran baharu tarif ini, dan berharap Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus merundingkan perjanjian yang lebih baik untuk perniagaan ini.
"Kami berharap MITI akan terus merundingkan perjanjian yang lebih baik dan bersedia menghadapi kesan yang mungkin berlaku, terutama kepada PKS kita yang mungkin lebih terdedah dalam persekitaran baharu ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran GBS By The Sea di Bayan Lepas di sini hari ini.
Chow berkata pengecualian semasa masih kekal buat masa ini tetapi menjangka kedudukan yang lebih jelas menjelang akhir tahun ini.Beliau berkata Pulau Pinang menyumbang kira-kira 55 peratus daripada eksport elektrik dan elektronik Malaysia, yang menunjukkan sumbangan penting negeri itu kepada ekonomi negara dan meningkatkan keperluan terhadap rundingan perdagangan yang strategik.
Sebelum ini AS dilaporkan akan melaksanakan pengurangan tarif sebanyak 19 peratus ke atas import Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Pada 7 Julai, Washington mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang masuk ke AS sebagai tambahan kepada tarif sektor sedia ada berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini.
Kadar ini adalah satu mata peratusan lebih tinggi daripada kadar tarif yang diumumkan pada April.
Sementara itu, mengenai projek air Pulau Pinang-Perak, Chow berkata rundingan dengan pihak berkuasa negeri Perak akan dimulakan tidak lama lagi.
"Kami sedang bekerjasama dengan baik. Rundingan dengan Perak akan dimulakan tidak lama lagi, diikuti dengan pelaksanaan projek berkenaan. Sasaran pelaksanaan adalah antara 2030 hingga 2031," katanya.
Chow berkata bekalan air tambahan adalah penting untuk menyokong usaha Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk membuka kawasan baharu bagi pembangunan perindustrian.
Beliau turut menekankan bahawa Pulau Pinang kekal berada pada landasan pertumbuhan yang mantap, didorong oleh sentimen pelaburan yang positif termasuk pelaburan baharu dan pengembangan pelaburan sedia ada.
"Pada masa ini kami memberikan tumpuan kepada pengembangan taman perindustrian. Baru-baru ini, saya mengumumkan bahawa kami mempunyai tanah perindustrian yang cukup untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Tetapi kadangkala, kami mungkin terlalu awal untuk menyatakan sedemikian. Apabila satu atau dua pelabur masuk dan memerlukan tanah yang besar, kami perlu bekerja lebih giat untuk memastikan tanah itu sedia digunakan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami