KUANTAN: Seorang pengurus Felda direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah sebanyak RM64,739.

Perintah reman dikeluarkan oleh di Mahkamah Majistret selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.

Penolong Pendaftar, Humairah Km Haider membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman bermula hari ini hingga Ahad.

Suspek yang berusia 38 tahun tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dengan memakai baju reman SPRM warna jingga.

Semalam, lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM Pahang antara jam 7 petang selepas hadir memberi keterangan mengenai salah guna kuasa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perolehan Rancangan (JKPR) dengan melantik syarikat yang beliau mempunyai kepentingan bagi projek berkaitan pertanian yang kesemuanya berjumlah RM64,739.

Kes disiasat mengikut  Seksyen 23 Akta SPRM 2009.