JOHOR BAHRU: Akibat terpedaya dengan skim pelaburan yang ditawarkan dalam talian, seorang pengurus jualan sebuah syarikat elektronik berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM577,912 baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Lim Jit Huey berkata, lelaki berusia 58 tahun itu pada mulanya telah mengenali seorang wanita yang menggunakan nama samaran, Amy di aplikasi WeChat.

Menurutnya, wanita terbabit kemudiannya menawarkan pelaburan emas menggunakan aplikasi upbest dan lelaki berkenaan kemudiannya berminat menyertai pelaburan berkenaan setelah dijanjikan pulangan sebanyak 10 peratus daripada jumlah modal yang dimasukkan dalam tempoh 60 minit selain keuntungan juga akan diperoleh setiap kali transaksi pelaburan dilakukan.

“Kerana tertarik dan percaya dengan keuntungan yang dijanjikan, lelaki berkenaan telah mengikut arahan dengan membuat bayaran berjumlah RM577,912 ke beberapa akaun bank tempatan.

“Pada mulanya, pelaburan tersebut telah menjana keuntungan, namun wang keuntungan tersebut gagal dikeluarkan atas pelbagai alasan dan turut didesak untuk membuat bayaran tambahan.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit mengesyaki dirinya telah ditipu dan satu laporan polis telah pun dibuat berhubung perkara berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.,” katanya.

Dalam pada itu, Jit Huey menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dengan mudah dan dalam masa yang singkat.

"Orang ramai perlu membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti pihak polis, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti bagi kepastian dan mendapatkan maklumat lanjut.

"Selain itu, gunakan perkhidmatan ‘Semak Mule’ yang disediakan secara dalam talian bagi menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek sebelum meneruskan transaksi pembayaran," ujarnya. - Sinar Harian